Friday, April 01, 2016

Tun Mahathir dijangka sertai himpunan mansuh GST Sabtu ini


  Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan menyertai perhimpunan aman ‘Turun Najib Mansuhkan GST’ pada 2 April ini.

 Komander himpunan Mohamad Sabu berkata, pihak penganjur telah memaklumkan berkaitan perhimpunan tersebut kepada Mahathir dan tidak menolak kemungkinan beliau akan hadir.

 “Tun Mahathir juga akan bersama kita di Dataran Merdeka pada 2 April. Himpunan di Ampang hari itu beliau tak beritahu untuk hadir tetapi tiba-tiba hadir dan kita yakin Tun akan turun pada Sabtu ini,” kata beliau pada sidang media di Wisma Amanah di ibu Negara hari ini.

 Himpunan sempena setahun Cukai Barangan dan Perkhidmatan(GST) dilaksanakan itu akan bermula pada jam 2 petang dan dijangka berakhir secara aman pada jam 6 petang.

 Mereka akan berhimpun di tiga tempat iaitu Masjid Jamek Kampung Baru, Jalan Sultan dan Pasar Seni kemudian bergerak ke Sogo sebelum berhimpun di Dataran Merdeka.

 “Kita tak katalah yang berpakaian hitam tak boleh hadir tapi digalakkan berpakaian hitam dan turun beramai-ramai,” katanya yang juga presiden Parti Amanah Negara (Amanah).

 Sementara itu, ketua pemuda Amanah Nasional Sany Hamzan menyeru seluruh rakyat Malaysia hadir secara aman dan tidak mencetuskan sebarang huru-hara.

 “Seperti dimaklumkan, ini himpunan aman dan semua rakyat Malaysia mesti hadir dalam keadaan baik. 

 “Kalau ada sebarang provokasi itu bukan daripada peserta himpunan tertapi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan ingin mencetuskan kekacauan,” tegasnya.

 Pengerusi Jingga 13 Fariz Musa pula berkata, pihaknya memberikan komitmen penuh terhadap himpunan tersebut dan akan berhimpun di Pasar Seni sebelum ke Dataran Merdeka.

 “Jingga 13 daripada awal memberikan sokongan penuh kepada himpunan dan mahukan rakyat yang menolak GST untuk sama-sama menyatakan sokongan dengan turun pada Sabtu ini,” katanya.

 Seramai 600 petugas keselamatan daripada Unit Tindak DAP (Tindak), Skuad AMK PKR dan Amal Relief Amanah (ARif) akan bertugas mengawal kelancaran himpunan. 

 Menurut Mohamad Sabu juga, pihak polis juga sudah dimaklumkan mengenai himpunan ini dan mendapat kerjasama yang baik daripada pihak keselamatan.

“Kita dah maklumkan kepada pihak polis dan seperti biasa layanan polis sangat baik dan memberikan layanan yang mesra,” katanya. ~ sumber
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...