Friday, July 29, 2016

Shukri : 'SPRM bukan tempat pengecut'

  Suasana sedih menyelubungi majlis perpisahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabatnya di Putrajaya hari ini.

 Ia bermula apabila Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull meninggalkan pesanan terakhir pada “anak-anak buahnya”.

 Shukri mengambil kesempatan mengingatkan mereka supaya menjalankan tanggungjawab dengan berani demi melawan barah rasuah dalam negara.

 “Kepada anak buahku, buatlah kerja dengan betul tanpa rasa takut dan gentar kerana di SPRM bukanlah tempat untuk pegawai-pegawai yang kecut, penakut dan gentar.

 “Peliharalah kebebasan SPRM mencegah rasuah, bukan satu kerja yang mudah banyak cabaran dan dugaan, hadapilah rintangan ini dengan penuh cekal dan tabah,” katanya yang membuatkan dewan suram.

 Ketika ucapan itu, kedengaran esakan kakitangan SPRM sambil tunduk dan mengelap air mata.

 Shukri akan meninggalkan suruhanjaya itu bersama dua lagi pegawai kanan suruhanjaya itu, iaitu rakan sejawatnya Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan) Datuk Seri Mustafar Ali dan ketua pesuruhjayanya Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

 Dalam ucapan itu Shukri turut memberi nasihat kepada ahli politik, hakim dan pegawai-pegawainya supaya jujur dalam menjalankan tugas kerana akhirnya mereka akan menerima hukuman di akhirat.

 “Nasihat saya, kepada para hakim jatuhkanlah hukuman seadil-adilnya kerana semua pihak, siapa pun terlibat kerana satu hari nanti kita akan bertemu Hakim yang adil, yang akan jatuhkan hukuman pada kita.

 “Pada waktu itu semua termasuk saya akan jadi saksi terhadap diri kita sendiri, menjadi peguam bela ke atas diri kita sesungguhnya hukuman itu akan menjadi hukuman yang paling adil berdasarkan apa yang kita lakukan di muka bumi.

 “Kepada orang-orang politik, menteri-menteri wakil-wakil rakyat dan sesiapa sahaja yang dalam politik, ingatlah tuan-tuan di atas sana kerana rakyat.

 “Utamakan rakyat berkhidmat lah dengan seikhlas hati dan penuh berintegriti, ingatlah satu hari nanti rakyat akan jadi saksi bila bertemu pencipta kita. 

“Pada masa itu tidak jawatan tidak ada pengaruh, tidak ada konspirasi, tidak ada kuasa yang boleh membantu tuan-tuan untuk mengubah keputusan yang telah dibuat oleh pencipta kita,” katanya dengan nada sebak. ~ sumber
Comments
2 Comments

2 comments :

Anonymous said...

Pemerintah kita pun beri nasihat serupa kpd anak2 buah dan pegawai kerajaan tapi di belakang tabir dia rembat juga.

Talk is cheap.

Anonymous said...

Siap baca doa lagi tiap tiap kali berhimpunan rembat tetap rembat

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...