GOPENG

GOPENG
JOM BERSAMA PAKAAN HARAPAN

Monday, February 20, 2017

Menilai H355 apakah Pas puas hati?


  Selama lebih sebulan parti agama (Pas) mengreklamasikan H355 -- Himpunan menyokong pindaan Akta 355 untuk memartabatkan mahkamah Syariah. Persiapan agak rapi dilaksanakan bagi menjayakan himpunan berkenaan. Pas berangan-angan untuk jadikan himpunan itu satu sejarah, himpunan kuimpulan agama (KUMAGA) terbesar selepas perjumpaan para ulama di kelab Sultan Sulaiman kira-kira 60 tahun lampau.

 Maka hebahan meluas dalam media sosial oleh ahli dan penyokong parti berkenaan dilakukan dengan rajin dan bersungguh sekali.

  Kemuncak kepada kempen adalah gertakan agar orang ramai hadir ke H355 ialah, sesiapa yang tidak hadir akan dianggap sebagai "Ahok". Ahok ialah Gebenur Jakarta yang berketurunan Cina dan beragama Kristian. Watak yang dicuaki waktu ini di Indonesia. Ada elemen rasis dan agamisme dilakukan dalam mengharap orang ramai hadir himpunan di Padang Merbok semalam.

 Kempen itu juga mendapat kerjasama baik dengan parti pemerintah, Umno. Pelancaran T Shirt rasmi berwarna ungu tertulis H355 dibuat bersama Ketua Penerangan Pas Nasaruddin Hassan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir.

 Melihat gambar Tuan Ibrahim dan Jamil mengangkat T shirt H355 itu menyenangkan saya. Saya mengira himpunan anjuran Pas dalam usaha meletakkan kekuatannya selepas parti itu berpecah dengan tertubuhnya AMANAH akan berjaya dan memberi keyakinan baharu untuk orang ramai menyokong parti agama itu.

 Setidak-tidaknya H355 akan menjadi pemangking kepada kepaduan Pas sebagai sebuah parti yang dimalui, dihormati dan didambakan rakyat kalau pun natijah kepada himpunan itu meleset. Jumlah kehadiran sangat penting.

 Saya juga mengira himpunan semalam lebih gah dan bermakna lagi. Ia akan menjadi acara besar yang akan disiarkan secara langsung dalam semua rangkaian televisyen di Malaysia. Maklumlah program untuk memartabatkan agama Islam tentu akan disokong. Apa lagi Umno yang menjadi tulang belakang BN, akhir-akhir ini menunjukkan belang pedulikan agama dan mereka juga menjalini hubungan ta'awun dengan Pas atas maslahat agama dan bangsa.

 Jadi program itu akan diberikan ruang awam yang luas dan umat Melayu diharap memberi perhatian baik. Bila diadakan siaran langsung segenap pelusuk, rakyat akan dapat menyaksikan program berkenaan dan mereka akan terpanggil untuk mendokongnya. Itu yang saya harap-harap dan nanti-nantikan. Natijah dari itu nanti seluruh rakyat akan bangkit memperjuangkan RUU 355, ke arah pelaksanaan Hudud, tanpa menanti seruan agar umat Islam mengetuk pintu ke pintu untuk membela Islam yang akhirnya akan mencapai hajat untuk melaksanakan Hudud. Keluasan liputan itu menjelaskan kesungguhan pihak kerajaan dan Umno.

 Bagaimana pun harapan itu semua "terbangkai". Salah sangka pada jangka. Program itu hanya dibuat lintas langsung sahaja oleh beberapa stesen televisyen. Liputan secara live lebih kurang sahaja himpunan Bersih 5.

 Ia dibuat menerusi kemudahan media sosial, menerusi live Facebook sahaja. Tiada live dalam tv kecuali lintas langsung. Ertinya event semalam bagi media massa bukan penting jauh sekali sebagai satu tawarikh besar ummah Islam. Kalau penting ia akan diberikan sorotan utama. Betul tak?

 TV3 yang akhir-akhir ini mesra parti agama juga meletakkan berita himpunan itu diurutan yang "terkusuk" (kebelakang)?

 Malahan jika dibandingkan gimik (provokasi), himpunan Bersih 5 lebih besar dan meluas lagi apabila TV3 malam siang cuba menimbulkan dakyah agar tidak menghadiri himpunan itu. Ia digambarkan sebagai haram walaupun sudah ada kes yang dirujuk ke mahkamah, mahkamah memutuskan himpunan Bersih adalah halal.Walhasil hasil dari kerja tidak bermoral media eletronik itu menjadikan himpunan Bersih lebih besar dan meriah daripada himpunan semalam. Bersih 5 mendapat publisiti percuma.

 Kenapa tv dikuasai UBN tidak memberi liputan langsung kepada majlis semalam? Saya ada dua argumen (hujah) dalam hal ini. Pertama BN tidak mahu ianya diperbesar-besarkan kerana bimbang berlaku salah tanggap dalam BN yang memberi risiko kepada BN.

 Komponen BN akan bergaduh semasa sendiri dan akan hilang kepercayaan kepada Umno. Liputan meluas media eletronik itu akan menunjukkan restu dari Umno. Sedang hakikatnya bukan begitu. Umno hanya mahu jadikan program itu untuk memecah belahkan Pas dan pembangkang sahaja.

 Kerana itu awal-awal lagi Umno menyatakan pindaan akta itu tidak menyentuh hak dan kepentingan agama lain. Bagaimana pun penjelasan Umno itu mudah ditangkap oleh rakannya yang lain, yang bukan Islam. Rakan bukan Islam dalam komponen BN tetap mencuriagai dan meragui Umno sehinggakan ada yang secara vokal memberi kata dua kepada Umno.

 Misalnya komponen di Sarawak dengan berani mengatakan mereka menolak RUU 355 dan ada kalangan pemimpin Gerakan mengatakan mereka akan meletak jawatan kalau RUU 355 dibentangkan di parlimen. Ancaman itu jugalah memungkinkan dua kali rang undang-undang itu ditangguhkan. Bagaimana pun penangguhan bertektikal itu dijadikan Pas sebagai modal politik yang ampuh di kalangan pengikutnya yang kurang berpengetahuan.

 Di sampingan sekatan atau halangan meluaskan sebenaran program itu juga untuk menghalang Pas diberi perhatian oleh rakyat tentang kepedulian mereka kepada agama.

 Kedua, mungkin Umno hanya mahu peralatkan Pas sahaja dengan isu itu. Umno sudah membaca Pas berpecah kerana isu berkenaan, dan itulah yang diharapkan. Umno tidak mahu orang ramai hadir meramaikan himpunan semalam kecuali orang Pas untuk membolehkan parti itu melihat dan menilai kekuatan sebenar Pas.

 Umno sedia memberi segala macam kemudahan untuk himpunan itu. Tiada sekatan jalan raya, tiada provokasi dan macam-macam seperti dilakukan pada himpunan Bersih. Jadi jumlah kehadiran semalam sekitar 30,000 ke 40,000 (termasuk yang dalam perut), menjelaskan kekuatan sebenar Pas waktu ini. Umno berjaya mencapai apa yang diimpikan.

 Dengan jumlah seramai itu, jauh dari sasaran 200,000 ertinya hampir atau kurang separuh daripada jumlah yang hadir semalam, adalah ahli Pas yang sudah tidak bersama parti itu lagi dimana berkemungkinan mereka bersama Amanah atau mengambil sikap tawaqus. 

 Kalau mengikut kapasiti keanggotaan Pas, parti itu mempunyai 800,000 ahli. Paling tidak pun kalau Pas masih solid seperti dahulu himpunan semalam boleh cecah 200,000. Apa lagi himpunan semalam dimobilis dan diorganiskan demikian rupa. Khabarnya pengangkutan disediakan, wang kopi disediakan. Seluruh kakitangan agensi kerajaan (Kelantan) dikerah agar hadir. Ada amaran dikeluarkan jika tidak hadir tindakan akan diambil. Curi peristiwa diberikan. Sepupu penulis sendiri yang berkhidmat sebagai guru hadir, mengakui apa yang didengari ini.

 Bukan itu sahaja, para pelajar sekolah agama, sekolah tahfiz juga ikut sama dikerah agar hadir di himpunan berkenaan atas nama jihad untuk menegakkan Islam. Dengan segala kekuatan itu sekiranya Pas tidak terbelah dua, sudah tentu jumlah kehadiran himpunan itu mencapai lebih 200,000. Apabila walaupun dengan segala kemudahan itu jumlah yang hadirnya tidak sampai suku yang disasarkan ia dianggap sebagai gagal.

 Mungkin bagi penyokong Pas yang kurang hafal aljibra sudah berasa puas dengan himpunan itu, tetapi yang tahu sifir politik akan mencebek mulut, kecewa.

 Biarlah saya tidak mahu bincang lanjut serta membuat unjuran di sini terhadap andaian-andaian itu yang mungkin benar atau tidak. Apa yang hendak dinilai di sini dan membuat postmortem himpunan semalam ialah mengenai untung dan ruginya kepada Pas, khasnya, dan amnya kepada umat Islam di negara ini.

 Beberapa kesimpulan yang boleh saya buat mengenai himpunan semalam seperti berikut:

 1. Parti agama telah terpedaya dengan Umno. Penyokong Umno dan pemimpin mereka termasuk wakil rakyat yang diharap menyokong RUU 355 di parlimen tidak bersama Pas. Mereka tidak hadir. Umno hanya mengirimkan Jamil Khir dan Asyraf Wajdi Dusuki untuk meraikan para himpunan.

 2. Sepatutnya kalau Najib Razak dan Zahid Hamidi tidak dapat hadir, sekurang-kurang dua tiga orang menteri kanan kena hadir. Mustapa Mohamed, Nazri Aziz, Teuku Adnan Teuku Mansor, Azalina Othman Said, Idirs Jusoh, perlu hadir. Namun tidak ada kelibat mereka yang tampak.

 3. Dua orang wakil rakyat Kelantan yang beriya menyatakan sokongan mereka kepada Hudud, Annuar Musa dan Alwi Che Amat juga patutnya tidak menguzurkan diri. Dalam kontkes Kelantan wajar mereka hadir bersama Mustapa Mohamed bagi menunjukkan kepada rakyat Kelantan mereka cintakan Hudud. Apabila orang ini tidak hadir jelas mereka hanya "main wayang" atau menjadi bulu ayam untuk menggelikan telinga orang Pas sahaja. 

4. Himpunan semalam juga gagal menarik perhatian orang Melayu Kelantan yang berada di Kuala Lumpur. Terdapat lebih 600,000 orang Kelantan yang berada di lembah Kelang. Apabila jumlah kehadirannya sekitar 40,000 di mana jumlah itu dipercayai 10,000 hingga 15,000 dari Kelantan, menunjukkan penyertaan anak-anak Kelantan di Kuala Lumpur sangat tidak menggalakkan. Kenapa, mungkin mereka kecewa dengan sikap dan pendekataan Pas Kelantan sekarang. Boleh jadi juga mereka ke tempat Zaid Ibrahim di Petaling Jaya. 

5. Himpunan itu juga gagal dihadiri oleh bukan Islam. Ini menunjukkan mekanisme dakwah Pas tidak berkesan. Kelemahan ini menyebabkan proses penegakkan syariah terus akan menjadi masalah yang akhirnya mengagalkan cita-cita untuk melaksanakan Hudud. Alhasilnya Pas akan kehilangan undi bukan Islam dalam Piraum akan datang. 

6. Umum tahun H355 itu disokong sama oleh beberapa NGO Islam, seperti Isma, Jati, Jaring Melayu, PPIM dan sebagainya. Kebanyakan ahli Ngo ini terdiri dari golongan yang cerdik atau pun mereka yang terpelajar. Apabila bilangan mereka hadir boleh dibilang dengan jari, bermakna golongan cerdik tidak sedia untuk dihimpun di Padang Merbok untuk menjadi burung terkukur, untuk berkuh kuh kuh mengangguk kepada Pas.

 Ketidakhadiran pendokong Ngo itu juga memberi indikator bahawa golongan pertengahan yang berilmu tidak menerima budaya politik yang dibawa oleh Pas yang kini makin konservetif dan ada kalanya menyerlahkan kefanatikan (fanatisme) mereka sehingga mirip kepada animisme.

 Selain itu ia menjelaskan keadaan itu merupakan penolakan mereka kepada politik assobiyiah yang dihidupkan oleh Pas, yang mana politik jenis itu bertentangan (kontras) dengan realiti masyarakat negara ini majmuk dan mengamalkan bukan politik sedarhana dan matang, tetapi rasional realis.

 Menyudahkan ulasan saya ini, himpunan semalam tidak begitu menguntungkan Pas, sebalik ia melabakan Umno. Kemeriahan dan sorak sorai dalam perhimpunan itu tidak lebih genderang perang yang mengasyikkan Pas untuk menyanyikan lagu kekalahan selepas ini. Aksi himpunan itu samalah aksi himpunan dalam ceramah-ceramahan Pas sebelum tahun 1999 -- sebelum Reformasi, dimana ia ramai tetapi umpama bueh-bueh di buritan kapal.

 Seharusnya dengan apa yang berlaku parti agama membuat mahasabah. Mereka perlu membuat koreksi semula dengan apa yang berlaku semalam. Beberapa pemimpin yang rasional nan tersisa dalam parti itu harus berani bangkit mengislakan siasah Pas.

 Mereka kena pastikan juga apakah penyakit Presiden Kesatuan Ulama Dunia Yusuf Qardhawi seperti mana kata Abdul Hadi turut berjangkit kepada timbalannya? ~ Teuku Zacharyah Iskandar
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...