GOPENG

GOPENG
JOM HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Saturday, April 01, 2017

Isu Penahanan Siti Noor Aishah : Menjawab Fitnah Zamihan


 ULASAN | Saya bersimpati dengan Malaysiakini yang dilontar dengan pelbagai tuduhan kerana sebuah penulisan yang disiarkan pada 29 Mac 2017.Rencana itu telah ditulis oleh saya dan disiarkan Malaysiakini. Saya bukanlah wartawan Malaysiakini seperti yang didakwa dalam penulisan balas tersebut.

Saya mengambil tanggungjawab penuh atas penulisan tersebut. Saya bersedia memberikan kerjasama penuh - sekiranya perlu. Saya juga agak terkejut apabila seorang ustaz yang dirujuk sebagai "pakar" boleh membuat tuduhan tanpa usul periksa.

Setiap yang saya tulis itu adalah benar seperti diceritakan Siti Noor Aishah Atam dan keluarganya, selain pengalaman saya sendiri tanpa sebarang tokok tambah. Namun mungkin ada kekurangan - seperti latar belakang sebelum Siti Noor Aishah ditahan - tidak dinyatakan secara terperinci.

Merujuk kepada tulisan tersebut, didalam Facebook bertarikh 30 Mac 2017 beliau menulis: “Bapanya sendiri yang melaporkan kepada PDRM tentang kecenderungan anaknya itu terhadap kumpulan jihad ISIS/Daesh apabila mengenali seorang lelaki yang bernama Qaddafi semasa menuntut di UM dahulu.” [Rujuk di sini]

Ini adalah tuduhan yang berat, yang menjadi bualan orang ramai. Ayah kepada Siti Noor Aishah MENAFIKAN sebarang laporan polis dibuat ke atas anaknya.

Keluarga mereka sedang mengkaji ruang untuk mengambil tindakan undang-undang atas kenyataan tersebut.

 Sejujurnya, saya tidak tahu apa yang ada dalam hati Siti Noor Aishah, sama ada beliau punya kecenderungan untuk terlibat dengan kumpulan pengganas atau tidak. Saya juga dimaklumkan, Siti Noor Aishah mempunyai hubungan dengan Dr Mahmud, seorang bekas pensyarah Universiti Malaya yang didakwa terlibat dengan kumpulan pengganas.

Cuma satu tuduhan

Saya juga dimaklumkan, hubungan Siti Noor Aishah dengan Dr Mahmud adalah sebagai seorang mahasiswi dengan pensyarah. Atas nasihat rakan-rakan, Siti Noor Aishah disyorkan untuk memilih Dr Mahmud sebagai penyelia tesis yang akan dibuat sebagai syarat wajib mendapatkan ijazah sarjana di Universiti Malaya dalam bidang usuluddin.

Saya tidak tahu jika ada hubungan yang lebih dari itu. Keluarga juga, tidak begitu jelas. Sama ada Siti Noor Aishah benar-benar terlibat dengan keganasan, saya serahkan kepada mahkamah untuk menentukan.

Namun apa pun latar belakangnya, Siti Noor Aishah dituduh mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan berkaitan dengan kumpulan pengganas.

Dengan pelbagai versi cerita yang tersebar berkenaan Siti Noor Aishah, saya tertanya-tanya mengapa dia cuma dituduh di bawah satu seksyen, dan berkaitan buku-buku yang dirampas. Dia tidak dituduh atas dakwaan lain.

Bukan menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang didakwa lebih daripada satu pertuduhan, walaupun ditahan mengikut Sosma. Namun sehingga hari ini, cuma ada satu pertuduhan ke atas Siti Noor Aishah, iaitu melibatkan 12 buah buku tersebut.

Jika terdapat bukti yang menunjukkan Siti Noor Aishah terlibat dengan kumpulan pengganas, beliau mestilah didakwa di mahkamah.

Di sini saya sertakan pautan penghakiman ke atas kes Siti Noor Aishah. Penghakiman ini boleh diakses orang ramai. INI PENTING, mohon dibaca.

Segala maklumat, termasuk senarai buku yang dirampas, dan ulasan mengapa Aishah dibebaskan, dinyatakan di dalamnya. Rujuk pada pautan ini .

Ada sedikit emosi

Selain penghakiman ini, pesuruhjaya kehakiman juga secara tegas mengarahkan agar Siti Noor Aishah dibebaskan segera. Namun persoalannya, mengapa Siti Noor Aishah ditahan semula di bawah Poca pada hari sama. Penahanan ini seperti tidak menghormati keputusan penghakiman.

Maka dengan itu, kami mengambil keputusan, untuk mempertahankan Siti Noor Aishah dan keluarganya. Mempertahankan gadis ini, tidak bermaksud kami menyokong terrorisme. Namun seseorang mestilah dibuktikan bersalah, sebelum dihukum.

Malah Siti Noor Aishah ditahan semula pada 27 Mac 2017 juga adalah disebabkan buku-buku tersebut, dan bukanlah pertuduhan yang baru.

Kami juga mendapati, terdapat ruang untuk akta tahan tanpa bicara - termasuk Sosma - yang digunakan untuk menahan Khairuddin Abu Hassan (kerana membuat laporan polis mengenai 1MDB di lima negara), Matthias Chang (peguam Khairuddin), serta Maria Chin Abdullah (kerana menganjurkan perhimpunan BERSIH5) untuk disalah guna.

Ketika menulis artikel tersebut, saya akui, saya sedikit emosi. Lalu mungkin ada bahasa yang keras digunakan. Melihat sendiri bagaimana seorang tua, pemegang kad OKU, dari keluarga susah, bersusah payah berulang menaiki bas dari Dungun ke Kuala Lumpur, serta berhutang ribuan ringgit, membuatkan saya tidak dapat berfikir lurus.

Malah apabila dimaklumkan ayahnya dimarahi kerana melantik peguam, kami berpendapat perkara ini tidak boleh didiamkan. Ini kerana, kami menerima banyak aduan berkenaan akses tahanan dengan peguam.

Saya juga perlu menjelaskan bahawa saya tidak menyalahkan polis, atau berniat untuk memburukkan institusi polis. Saya faham kerja dan risiko yang dihadapi polis setiap hari untuk mempertahankan keselamatan negara, dan rakyat keseluruhannya.

Namun polis juga - sebagai manusia biasa - tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Apabila itu berlaku, ia berlaku kerana dia seorang manusia biasa, bukan kerana dia seorang polis.

Bezanya dengan kita rakyat biasa, polis punya kuasa yang besar, malah pada satu tahap, ia melibatkan kebebasan seseorang individu. Polis punya kuasa yang absah untuk menggunakan kekerasan, sehingga tahap boleh mencabut nyawa seseorang individu dan ia bergantung kepada situasi.

Makanya kita percaya, tugas polis (dan semua yang berkuasa ini) perlu dipantau, dan itulah apa yang Suaram lakukan. Sebab itu kebiasaannya kami dilihat seperti hanya menyalahkan polis (dan pihak berkuasa). Kerana yang kita pantau dan dedahkan adalah salah guna kuasa. Belum ada lagi salah guna kuasa yang baik.

Untuk polis yang baik dan beramanah, biar Ketua Polis Negara saja yang menyerahkan anugerah kecemerlangan. Kami akan tumpang berbangga dengan mereka.

Kritikan saya terhadap Sosma, Pota dan Poca sebagai akta tahan tanpa bicara akan saya tulis dalam masa terdekat.~ sumber

AMIR ABD HADI ialah penyelaras Suaram. Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...