BERSAMA AMANAH

BERSAMA AMANAH
AMANAH MAJU TERUS

Tuesday, April 04, 2017

PULAU PINANG MASIH UTUH EKONOMI, YANG MALANGNYA NAJIB MASIH MEMERINTAH


 Saya mengambil maklum mengenai kenyataan Najib Razak yang dipaparkan dalam blog peribadi, menuduh bahawa pelabur luar lari dari Pulau Pinang. Beliau cuba mempertahankan dirinya dengan mengatakan pelaburan yang dibawanya masuk adalah bagus, malah memperlekeh pembangkang yang dituduh anti-pelaburan asing, anti-patriotik dan menganggap pelaburan asing sebagai cara menjual negara.

 Saya menyangkal tuduhan beliau terhadap Pulau Pinang melalui beberapa fakta:

 1. Mengikut laporan Malaysia Investment Development Agensi (MIDA) 2016, agensi di bawah Kerajaan Persekutuan ini telah membuktikan bahawa pencapaian ekonomi Pulau Pinang begitu memberangsangkan. Sebanyak 106 pelaburan baru dibawa masuk dengan nilai tambah sebanyak RM4.29 bilion. 71 peratus daripada nilai ini adalah pelaburan asing. Kenyataan ini bercanggah bahawa ramai pelabur luar lari dari Pulau Pinang.

 Pencapaian Pulau Pinang kini berada dalam kedudukan nombor empat mengikut nilai pelaburan masuk paling banyak pada tahun lepas. Dengan keluasan yang kecil, prestasi Pulau Pinang lebih mapan dan kompetitif berbanding dengan sebahagian besar negeri-negeri yang diperintah oleh Umno BN seperti Kedah dan Melaka.

2. Dalam masa tempoh lima tahun, pencapaian sumbangan Pulau Pinang terhadap Keluaran Dalam Kasar Negera (KDNK) begitu memberangsangkan. Pada tahun 2015, Pulau Pinang menyumbang 6.6% kepada KDNK, berbanding sekitar 5.5% pada tahun 2010. Tambahan pula, Pulau Pinang menyumbang 12.8 peratus kepada sektor pembuatan negara pada tahun 2015. Statistik ini diiktiraf oleh Jabatan Perangkaan Negara yang beroperasi di bawah Kerajaan Persekutuan.

 Adalah suatu yang memalukan apabila seorang Perdana Menteri dan merangkap Menteri Kewangan tidak menilai statistik ini terlebih dahulu sebelum menuduh ekonomi Pulau Pinang teruk di bawah pentadbiran Lim Guan Eng. Jika Najib tuduh pelabur luar lari meninggalkan Pulau Pinang, mengapakah ekonomi negeri ini semakin berkembang pesat? 

Tidakkah Najib tahu bahawa faktor tarikan pelabur asing adalah bergantung pada kedudukan ekonomi semasa, insentif pelaburan, potensi pulangan, tata kelola yang baik, bebas rasuah dan kestabilan politik?

 Najib menyangkal dakwaan pembangkang bahawa Kerajaan Umno BN cuba menjual negara. Najib menggunakan hujah syarikat-syarikat nasional juga terlibat dalam pelaburan di luar negara. Hakikatnya, Najib tidak faham maksud 'jual negara' yang diperkatakan oleh pembangkang. Berikut merupakan penjelasan sebenar:

 1. 'Jual negara' bermaksud apabila kerajaan terpaksa melaksanakan sebuah projek berkos tinggi yang bertujuan untuk membayar hutang sesebuah syarikat yang penuh dengan skandal penyelewengan. Kerajaan Umno BN merancang projek East Cost Railway Line (ECRL) dengan kos RM55 bilion untuk tujuan membayar hutang 1MDB seperti didakwa oleh Sarawak Report. Projek ini dibiayai sepenuhnya melalui pinjaman kepada bank pembangunan China. Jika projek ini gagal membiayai kos, sudah tentu Kerajaan Persekutuan yang akan datang terpaksa menanggung kos.

2. Jual negara' bererti apabila kerajaan Najib menyembunyikan status sebenar tanah projek pembangunan Forest City. Beliau memberi jaminan bahawa tanah projek tersebut adalah 'leasehold' dan mempunyai had tempoh pajakan. Tetapi realitinya, kenyataan ini disangkal oleh Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir apabila beliau sendiri melawat kawasan projek berkenaan dan melihat papan tanda yang memaparkan status 'freehold' atau pegangan bebas! Adakah Najib cuba sembunyikan hakikat bahawa sebahagian tanah di Johor akan dikuasai oleh pelabur asing buat selama-lamanya?

 Saya percaya bahawa terdapat lebih banyak lagi definisi yang boleh merujuk pada istilah 'jual negara', bersabit tindakan-tindakan Najib yang telah memberi imej negara kita semakin hari semakin teruk, apatah lagi ditambah dengan kes-kes penyelewengan, rasuah dan tatakelola yang teruk.

 Saya ingin mengulangi bahawa lawatan pelaburan Najib ke luar negara sama sekali tidak akan mampu meningkatkan 'profile' negara kita. Hal ini dibuktikan dengan nilai ringgit yang jatuh dan angka FDI juga masih rendah. Skandal 1MDB yang sedang berhadapan penyiasatan beberapa negara dunia menambah buruk imej negara gara-gara Najib.

 Amat malang Malaysia ini apabila Najib masih memerintah tanpa pedulikan suara rakyat. Amat malang apabila seorang Perdana Menteri sanggup memburukkan beberapa negeri dalam Persekutuan semata-mata memenuhi kemahuan nafsu politik peribadi beliau.

DATO' SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Penasihat Strategik kepada 
YAB Ketua Menteri Pulau Pinang 
( Setiausaha Agung KEADILAN)
sumber
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...