Wednesday, May 24, 2017

KETUA PEMUDA PAS TIDAK BERPIJAK DI BUMI NYATA


1. Kenyataan Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi bahawa PAS bukan talian hayat bagi UMNO dalam PRU Ke-14 tidak mencerminkan kematangan dalam politik dan tidak berpijak di bumi yang nyata. 

2. Ini adalah kerana umum mengetahui bahawa senjata paling ampuh bagi menjatuhkan UMNO pimpinan kleptokrat Najib Razak adalah melalui permuafakatan parti pembangkang sepertimana yang dibuktikan dalam pilihanraya umum tahun 1990, 1999, 2008 dan 2013. Apabila PAS mengambil langkah memutuskan hubungan politik dengan DAP dan KEADILAN, maka timbul persepsi di kalangan rakyat bahawa PAS kini bermusuh dengan musuh politik UMNO. Kesediaan parti-parti Pakatan Harapan yang dianggotai AMANAH, DAP, KEADILAN dan PPBM membuka pintu persahabatan seluas-luasnya kepada PAS hampir 2 tahun selepas terkuburnya Pakatan Rakyat ditolak oleh PAS. 

3. PAS seolah-olah tidak memahami ungkapan 'musuh kepada musuh aku adalah rakanku'. Oleh sebab itu, PAS dianggap memberikan talian hayat kepada UMNO yang kini nyawa-nyawa ikan kerana tidak lagi popular di kalangan rakyat akibat pergolakan politik dan urustadbir negara yang korup dan zalim terhadap rakyat. 

4. Tambahan pula, pengumuman Presiden UMNO Najib Razak dalam sambutan 71 tahun UMNO baru-baru ini bahawa PAS telah memutuskan tahaluf siyasi dengan KEADILAN menunjukkan begitu gembiranya UMNO dengan tindakan tersebut dan seolah-olah ianya sebuah hadiah ulangtahun paling bermakna dalam sejarah UMNO. 

5. PAS juga tidak lagi bersuara menentang penyelewengan dan kezaliman kerajaan pimpinan Najib Razak seperti tidak mengundi menolak bajet gst dan Rang-rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015. Apatah lagi dalam isu korupsi terutama 1MDB, PAS terus menyepi malah menyokong Najib Razak apabila terdapat kenyataan pemimpin kanan PAS bahawa dakwaan terhadap MO1 memerlukan 4 orang saksi. Penggunaan agama pada tempat yang salah tidak seharusnya dilakukan PAS di mana walaupun terdapat kes prima facie kesalahan jenayah Perdana Menteri, ianya diselamatkan PAS atas naratif agama. 

6. PAS hanya menggunakan hubungan G2G antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri sebagai alasan untuk mengaburi hati ahli dan penyokong PAS bahawa kerjasama yang wujud adalah untuk kebaikan rakyat. Sebaliknya, hubungan antara kerajaan tidak seharusnya dijadikan halangan untuk mana-mana parti politik menentang kemungkaran dan kezaliman UMNO dan Barisan Nasional. 

7. Adalah begitu jelas dengan suluhan yang terang bahawa PAS kini menjadi talian hayat bagi UMNO dengan menubuhkan blok ketiga yang dipanggil Gagasan Sejahtera yang menjadi penganggu kepada undi rakyat yang mahu menolak UMNO dan Barisan Nasional. Apatah lagi kenyataan Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang yang memberikan pilihan undi samaada PAS atau UMNO tanpa menyebut Pakatan Harapan. Apatah lagi kedua-dua parti sekarang sehaluan memainkan sentimen perkauman dan agama bagi mengalih isu korupsi dan ekonomi yang dihadapi Najib Razak dan UMNO sekarang. Jelas pilihan yang ada di dalam pemikiran PAS adalah UMNO. 

FAIZ FADZIL 
TIMBALAN KETUA PEMUDA AMANAH 
24 MEI 2017
Comments
1 Comments

1 comment :

Anonymous said...

Itu baru kenyataan awal daripada ketua pemuda yang baru. Akan banyak lagi kenyataan2 daripada dia yang tak masuk akal, kerana dia ni bukan ada kelayakan pun utk memegang jawatan sepenting itu.
Ostad anak mr presideng katakan!!!!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...