GOPENG

GOPENG
JOM HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Wednesday, May 24, 2017

Razman rayu keputusan mahkamah

Oleh Faeez Azhar


IPOH: Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria hari ini membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi Ipoh terhadap keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

 Mahkamah sebelum ini membatalkan Tuntutan Balas yang dikemukakan oleh pimpinan Pas itu terhadap Timbalan Pengerusi AMANAH Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

 Di dalam tuntutan balas tersebut, Razman mendakwa bahawa Mohammad Nizar telah memfitnah beliau melalui kenyataan bersama Pakatan Rakyat Perak pada tarikh 21 Mac 2015 berhubung isu perlaksaan hukuman hudud di negeri Perak.

 Katanya, tindakan Mantan Menteri Besar Perak itu yang membuat kenyataan bersama tanpa persetujuan beliau merupakan satu fitnah ke atas dirinya selaku Pesuruhjaya Pas Perak.

 Peguam Razman, Harith Ibrahim dalam penghujahannya hari ini juga berkata bahawa tindakan Mohammad Nizar yang membelakangkan Razman selaku Pesuruhjaya Pas Perak dianggap sebagai perbuatan "misfeasans". 

 Peguam Mohammad Nizar, Asmuni Awi walau bagaimana pun berhujah, bahawa tuntutan balas tersebut tidak mendedahkan apa-apa kausa tindakan kerana kenyataan bersama yang didakwa fitnah tersebut tidak dinyatakan secara jelas di dalam tuntutan balas Razman.

 Katanya lagi, tuntutan balas tersebut seolah-olah dikemukakan atas kapasiti beliau sebagai Pesuruhjaya Pas Perak sedangkan tindakan tersebut bercanggah dengan Akta Pertubuhan 1966 yang hanya membenarkan pegawai awam yang didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk mengambil tindakan bagi pihak parti. 

 Asmuni menjelaskan, isu "misfeasans" tidak relevan di sini kerana Mohammad Nizar bukanlah seorang pejawat awam, malahan perkara tersebut tidak pernah dinyatakan oleh beliau di dalam Tuntutan Balas Razman. 

 Setelah mendengar penghujahan daripada kedua-dua belah pihak, Hakim Anselm Charles Fernandis menetapkan 5 Jun ini untuk keputusan bagi rayuan tersebut.

 Razman sebelum ini diarahkan oleh Mahkamah Sesyen untuk membayar kos sebanyak RM8500 setelah beliau dilihat cuba melengah-lengahkan pembayaran kos tersebut kepada Mohammad Nizar.
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...