Thursday, June 15, 2017

‘Mahkamah perlu putuskan jika kes RM9.5 juta adalah khabar angin'


  Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mesti menarik diri daripada menyiasat dakwaan yang dibuat oleh laman web Sarawak Report, kata Ahli Parlimen Puchong, Gobind Sigh Deo hari ini.

Saranan itu dibuat selepas Khalid, pagi tadi mengesahkan dakwaan laman web tersebut bahawa suspek utama berhubung kes menerima rasuah bagi melindungi pusat judi haram dan rumah urut di sekitar Melaka adalah kenalannya.

Menurut Gobind, perkembangan terbaru itu menjadikan kedudukan Khalid sebagai satu konflik.

"Jadi, mengapa beliau masih memberi arahan? Ini tidak betul. Beliau tidak harus melibatkan dirinya dalam siasatan RM9.5 juta atau dalam sebarang perkara lain yang membabitkan (editor) Sarawak Report atau (editornya) Clare (Rewcastle-Brown)," katanya dalam satu kenyataan.

Sarawak Report sebelum ini mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membayar RM9.5 juta kepada peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Pejabat Perdana Menteri tidak memberi sebarang jawapan berhubung soalan media mengenai dakwaan itu manakala Shafee minggu lalu berkata, bahawa beliau akan mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara itu. Setakat ini belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkannya.

Gobind juga berkata, bukan bagi ketua polis negara untuk menentukan sama ada laporan berkenaan adalah sekadar khabar angin.

"Ia sepatutnya adalah keputusan yang perlu dibuat oleh pendakwa raya dan kemudiannya, oleh mahkamah selepas proses siasatan selesai," katanya.

Pemimpin DAP itu berkata, polis dengan mudah boleh mengesahkan tuntutan itu dengan mendapatkan dokumen yang diperlukan dan penyata bank.

"Iaitu, jika polis belum memiliki dokumen berkaitan, meskipun hakikatnya bahawa siasatan SRC International masih berterusan," katanya.

Menurut Sarawak Report, Najib membuat dua pembayaran kepada Shafee jumlah wang berkenaan dari akaun yang sama di mana dana SRC International disalurkan ke akaun bank peribadi perdana menteri.

Shafee bertindak sebagai ketua pendakwa ketika kes liwat II yang membabitkan bekas ketua pembangkang yang kini meringkuk di penjara Datuk seri Anwar Ibrahim dibicarakan di mahkamah rayuan dan persekutuan.

Susulan dakwaan Sarawak Report itu, Anwar memfailkan saman pemula minggu lalu supaya sabitan kesalahannya itu diisytiharkan terbatal dan tidak sah.

Malaysiakini tidak boleh secara bebas mengesahkan dakwaan Sarawak Report atau mengesahkan jika bayaran yang dikatakan itu berkaitan dengan peranan Shafee dalam kes Anwar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak, semalam, menasihatkan rakyat supaya tidak mempercayai laporan Sarawak Report, yang didakwa sebagai laman web yang tidak berwibawa. ~ sumber
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...