PENANG

PENANG
TABUNG BANJIR PENANG

Friday, June 16, 2017

MP PARIT DIAM MEMBATU, TIADA PENJELASAN TENTANG STATUS HOSPITAL SERI ISKANDAR


 1. Sehingga hari ini, 15 Jun 2017 belum ada jawapan sepatah pun daripada Ahli Parlimen Parit. Kini sudah 16 hari daripada kenyataan media yang pertama menuntut Datuk Zaim Abu Hassan memberi penjelasan berkenaan status Hospital Seri Iskandar yang disebut-sebutnya pada media, akan dimulakan pada Februari tahun ini. 

 2. Seperti mana yang saya tegaskan dalam dua kenyataan media yang berasingan, masing-masing pada 31 Mei 2017 dan 6 Jun 2017, hospital yang dimaksudkan oleh Datuk Zaim itu bukan sahaja bayang tidak kelihatan, malah rangka bangunan pun tak nampak apatah lagi kerja-kerja rataan tapak projek sama sekali tidak dapat dikesan. 

 3. AMANAH Parlimen Parit mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; MB Perak, Datuk Seri Zamry Abdul Kadir dan Ahli Parlimen Parit, Datuk Zaim Abu Hassan berhubung janji Barisan Nasional (BN) untuk membina Hospital Seri Iskandar yang belum ditunaikan. 

 4. Umumnya, AMANAH sangat dukacita dan kesal dengan kerakusan pemimpin BN berjanji, tetapi tidak ditepati. Projek baharu Hospital Kerian diumumkan pada tahun 2006 belum dilaksanakan hingga kini, tetapi pada tahun 2008 kerajaan mengumumkan pula projek baharu Hospital Seri Iskandar. 

 5. Ini diikuti pada tahun 2012 kerajaan mengumumkan Hospital Kampar dan sehingga kini ianya belum terlaksana lagi. Namun dalam lawatan Najib ke Kelantan pada 12 Mac 2017 yang lalu, satu lagi hospital yang baharu diumumkan iaitu Hospital Bachok. 

 6. Projek pada asalnya telah diumumkan pada tahun 2010, akhirnya selepas 7 tahun ia "bakal" menjadi realiti dengan ungkapan Najib bahawa "saya sayang orang Kelantan" yang dilafaznya semasa mengadakan lawatan ke negeri itu awal tahun ini. Itupun masih boleh dicurigai dan belum pasti lagi. 

 7. AMANAH kesal seolah-olah harapan rakyat yang inginkan kebajikan dan kesihatan yang terbaik dipermain dan dipersendakan dengan janji-janji manis yang sangat longgar. Mereka menjadikan "hospital" sebagai umpan kepada rakyat dan pengundi agar memilih BN dalam setiap kali pilihan raya umum tanpa mempastikan realiti pembinaannya mengikut jadual. 

 8. Mewakili warga Parlimen Parit, AMANAH mengingatkan sekali lagi agar pihak kerajaan tidak menganaktirikan rakyat di kawasan ini dengan melengah-lengahkan pembinaan Hospital Seri Iskandar atau mengalihkan projek ini ke kawasan lain, yang berjiran dengan Parlimen Parit. 

 AMANAH DEMI NEGARA Amanah. 
Progresif. Peduli. 

TARMIZI MOHD JAM 
Penyelaras AMANAH 
Parlimen P.069 Parit merangkap 
Timbalan Pengerusi AMANAH 
Wilayah Persekutuan 
15 Jun 2017
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...