Peguam hak asasi manusia
Perancis, William Bourdon telah mengesahkan bahawa rakan kepada Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak, Abdul Razak Baginda telah didakwa (indicted) di Paris
atas dakwaan sogokan berhubung penjualan kapal selam kepada Malaysia.
Bourdon, peguam yang
mengendalikan kes Scorpene di Paris, berkata bahawa Abdul Razak telah didakwa
pada 18 Julai kerana didakwa terlibat dalam rasuah aktif dan pasif, dan recel
d'abus de biens sociaux.
Perkataan Perancis itu
diterjemahkan kepada "penyalahgunaan aset korporat" dalam bahasa
Inggeris.
"Ini (dakwaan pada 18
Julai) adalah satu langkah penting bagi kes kami," katanya ketika
dihubungi Malaysiakini. Bourdon mewakili NGO hak asasi manusia Suaram
ketika mereka memfailkan kes itu di Perancis pada 2009.
Ditanya sama ada Abdul
Razak perlu hadir di mahkamah Perancis untuk menghadapi pertuduhan, Bourdon
berkata: "Dia harus memberi respons terhadap penghakiman 11 muka surat
hakim".
Mengenai bila ia akan
berlaku, Bourdon enggan memberi komen, dengan mengatakan bahawa dia perlu
menunggu maklumat yang tepat, yang akan diperolehnya dari para hakim
selepas cuti musim panas.
Pembelian dua kapal selam
kelas Scorpene Malaysia dari DCNS Perancis, sekitar harga satu bilion euro,
telah ditandatangani pada Jun 2002. Pada masa itu, Najib adalah menteri
pertahanan.
Pembelian kapal selam kini
menjadi subjek penyiasatan oleh pihak berkuasa Perancis berhubung dakwaan
bayaran sogokan.
Setakat ini, empat orang
warga Perancis dan Abdul Razak dilapor dalam siasatan.
"Majistret yang
menyiasat mempunyai kuasa untuk mendakwa dalam sistem perundangan dua tahap
Perancis," kata Gabriel, yang kini menjadi pengarah Pusat Pemantauan
Rasuah untuk memerangi korupsi dan kronisme (C4).