GOPENG

GOPENG
JOM HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Sunday, September 24, 2017

Perangkap maut.

Oleh Arif Atan

7 Mac 2016, kebakaran Maahad Tahfiz Darul Itqan Al-Muhammadi 
Batu 40. Image via Sinar Harian
Sekumpulan keluarga mangsa kebakaran pusat tahfiz bangkit mahu menuntut keadilan. Bak pesan Hamka, usah pernah menuhankan seorang manusia sehingga "tidak boleh disalahkan, dan dipandang tidak pernah bersalah".

Moga lebih ramai keluarga mangsa bangkit rasional berbuat demikian sebagai iktibar kepada ustaz tuan punya pusat tahfiz yang lain - jangan sanggup sumbat pelajar dalam perangkap maut.

Alasan bangunan sementara, khianat, mangsa syahid dan kemuncak kepada proses pembodohan - "Tak nak fikir panjang sebab benda sudah jadi" bukan jampi untuk masyarakat pejam mata tentang kecuaian pengurusan pusat tahfiz.

Ayat klise rumusan karangan budak sekolah, "Semua pihak mesti bertanggungjawab" harus bermula dengan kesedaran dan kebertanggungjawaban pemilik/pengelola/pengetua/mudir pusat tahfiz itu sendiri.

Bukankah sesuatu kaum tidak berubah selagi kaum itu sendiri tidak cuba untuk berubah? Dalam konteks ini, 'kaum' pemilik pusat tahfiz terlebih dahulu kena berubah utamakan ciri keselamatan.

Putrajaya tubuh 100 jawatankuasa bentang 1,000 syor naik taraf pusat tahfiz pun kalau pentadbirnya tidak patuhi garis panduan keselamatan sedia ada, jangan nak 'feeling' sangat kalau pusat tahfiz terbakar lagi untuk kali ke-213 selepas ini dan seterusnya hanya dalam tempoh kurang 2 tahun sebagai sudah takdir.

Kalau Perdana Menteri umum tambah lagi dana RM30 juta untuk pusat tahfiz pun, masyarakat pula simpati tidak bertempat terus mengembungkan poket ustaz pengetua pusat tahfiz tapi kalau mereka sendiri tidak berubah untuk mengutamakan keselamatan, tak guna juga.

Kalau masyarakat terus biar reaksi seperti "tak nak fikir panjang benda sudah jadi" oleh pemilik pusat tahfiz selepas berpuluh nyawa melayang kerana TERPERANGKAP, nyatalah kita sendiri tanpa sedar hanya berfikiran simplistik.

Melayu yang 'tersihir' dengan apa saja hal bersangkut dengan agama tanpa sedar menjadi jurucakap pentadbir pusat tahfiz yang sambil lewa isu keselamatan sekaligus tidak menghormati NYAWA kanak-kanak untuk belajar dan hidup dalam persekitaran yang selesa lagi selamat.

Melayu mesti rasional. Bezakan institusi tahfiz dengan orang yang dipanggil ustaz sebagai pemilik pusat tahfiz.

Institusi tahfiz itu bagus dan sama sekali sebagai orang Islam tidak persoalkan.
Yang kita wajib persoalkan, kebertanggungjawaban dan kejujuran pihak pengurusan atau pemilik pusat tahfiz itu.

Kita mahu pusat tahfiz yang berkualiti termasuk aspek keselamatan. Pengetua atau mudir yang tidak cuai aspek keselamatan pelajarnya selain tentunya pengajaran yang bermutu menjamin institusi tahfiz dihormati bukannya mengundang tanggapan keji.

Kita tidak mahu pusat tahfiz yang banyak bercambah tak tentu hala tapi hakikatnya membahayakan tubuh, jiwa dan akal kanak-kanak.

Comments
2 Comments

2 comments :

Anonymous said...

Itu baru pengurusan sebuah tahfiz. Bgmn jk lebai2 ni mempunyai sikap sama dlm pengurusan sebuah negeri? Adakah mrk tak boleh buat salah? Contohnya dengar cara nik amar cakap

mama papa said...

Setuju bab ini. Bab politic saya masih percaya PAS lebih baik mentadbir. Bab tahfiz ini saya tetap salahkan mudir. Dia ada duit pergi haji kan?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...