GOPENG

GOPENG
JOM HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Monday, September 25, 2017

Tahfiz Ittifaqiyah: Hukum setimpal pihak yang bertanggungjawab


 Ibu mangsa kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, Mashawani Mohamed Shahid (gambar) yang kehilangan tiga anak sekali gus dalam tragedi tersebut mahu pihak yang bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal.

Ibu tunggal berusia 37 tahun ituberharap tragedi malang pada 14 September itu dijadikan iktibar kepada semua pihak.

Mashawani yang kehilangan tiga anak sekali gus itu berkata dia memang tidak menyimpan sebarang dendam, malah reda dengan ketentuan Ilahi.

Namun dia mahu pihak yang bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal.

"Anak-anak saya pun dah tak ada. Kita tak dapat kembalikan mereka yang sudah pergi terlebih dulu.

"(Takdir) untuk mereka saya terima, cuma saya mengharapkan agar diberi hukuman yang setimpal kepada pihak yang berkenaan.

"Semua kejadian ini perlu dijadikan iktibar," katanya.

Tiga anak Mashawani yang terkorban dalam kejadian awal pagi itu ialah Muhammad Syafiq Haikal Sulaiman yang berusia 13 tahun serta dua adiknya, Muhammad Hafiz Iskandar Sulaiman (11) dan Muhammad Harris Ikhwan Sulaiman (10).

 Sementara itu Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Hasanuddin Mohd Yunus menuntut Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memberi penjelasan bagaimana pusat tahfiz berkenaan boleh beroperasi di bangunan mereka. 


Hasanuddin berkata isu keselamatan di sesuatu premis yang dikelolakan agensi kerajaan seharusnya sentiasa menjadi keutamaan.

“Seawal hari pertama lagi, kami di AMANAH telah berada di lokasi ini, kami buat kenyataan bahawa semua kegiatan agama mesti berada di bawah majlis agama Islam.

"Aktiviti membuat sekolah maahad ini di bawah pemantauan mereka. Kalau berdaftar, kena ikut peraturan pihak brkuasa Tempatan (PBT) dan bomba.

“Kalau tak berdaftar pula kena pastikan sentiasa di bawah pemantauan (pihak yang berkenaan),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah penjaga mangsa kebakaran itu di Taman Kosas Ampang.

Sebelum ini portal The Malaysian Insight melaporkan pengetua pusat tahfiz berkenaan Muhammad Zahid Mahmod (gambar) enggan mengulas lanjut lagi mengenai kejadian tersebut sebaliknya meminta media bertanya kepada MAIWP.

"Ketua polis negara tidak beri saya buat kenyataan. Cuba tanya MAIWP," beliau dilaporkan sebagai berkata selepas ditanya mengenai pemilik sebenar bangunan tiga tingkat di Datuk Keramat itu.

Akhbar New Straits Times pula melaporkan timbalan pengetua tahfiz itu Roslan Awang Ali mendakwa bangunan berkenaan di bawah kuasa MAIWP selepas diserahkan pemilik asalnya sebagai wakaf.

Mesti jadi pengajaran

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Paimuzi Yahya, turut enggan memberikan sebarang komen kerana katanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah berbuat demikian.

Sementara itu, peguam yang juga anggota DAP Zulhazmi Shariff turut membidas sikap berdiam diri MAIWP. 

“Bangunan itu adalah bangunan MAIWP. Sepatutnya sebagai satu agensi kerajaan mereka patut tahu benar aspek keselamatan dan struktur bangunan.

"Bagaimana pihak berkuasa seperti MAIWP boleh buat bangunan tanpa ciri keselamatan, dan bagaimana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh luluskan pembinaan dan tak buat sebarang pemeriksaan bangunan?

“Sehingga hari ini kita tak dapat penjelasan daripada MAIWP. Kita faham dengan (kenyataan) pengetua, tapi MAIWP adalah pemilik bangunan dan mereka kena beri penjelasan,” katanya.

Turut menyertai lawatan berkenaan ialah Anggota Parlimen Segambut Lim Lip Eng dan bekas exco Selangor Ronnie Liu.

Polis dan bomba mengesahkan kejadian itu bukan kemalangan sebaliknya perbuatan khianat.

Tujuh suspek berusia 11 hingga 18 tahun sedang ditahan reman sehingga 29 Sept ini sebelum tindakan lanjut diambil ke atas mereka.

Polis Kuala Lumpur sebelum ini juga mengesahkan kes itu sudah diselesaikan dengan tertangkapnya ketujuh-tujuh suspek terbabit. ~  sumber

Komen al-Husseyn :

MAIWP selaku pemilik bangunan didesak supaya memberi penjelasan bagaimana pusat tahfiz itu boleh beroperasi walaupun tanpa kelulusan yang sah daripada pihak berkuasa tempatan terjawab dan bomba.

Patutlah Zahid mengaku yang beliau tidak ada ilmu tentang isu keselamatan; rupanya dia tidak pernah memohon kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan dan bomba.

Syabas diucapkan kepada ibu mangsa, Mashawani Mohamed Shahid, yang kehilangan tiga anak sekali gus dalam tragedi itu kerana bertegas mahu pihak yang bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal.

Harap akan ada mana-mana pihak peguam yang sanggup tampil memberi perkhidmatan untuk membantu keluarga yang malang ini.
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...