PENANG

PENANG
TABUNG BANJIR PENANG

Sunday, October 22, 2017

Projek lulus ikut Garis Panduan Pembangunan Kawasan Tanah Tinggi - Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB


TANJUNG BUNGA - Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Dato’ Maimunah Mohd. Sharif mengesahkan bahawa projek perumahan swasta yang terlibat dalam kejadian kemalangan di tapak pembinaan dekat Jalan Lembah Permai sebenarnya di ketinggian sekitar 40 meter (m) serta diluluskan mengikut Garis Panduan Pembangunan Kawasan Tanah Tinggi (NRE, 2005).

 Jelas beliau, MBPP sebenarnya tidaklah sewenang-wenangnya meluluskan projek pemajuan di kawasan tanah tinggi sebagaimana dituduh oleh pihak tertentu, sehingga mengakibatkan kematian seorang warganegara dan 10 buruh asing seperti di sini.

 “Kalau kita lihat tanah ini pun, ketinggiannya 40 meter, iaitu di bawah ketinggian 76 meter. “Kita (Pihak Berkuasa Tempatan, PBT) mempunyai satu garis panduan yang begitu ketat...garis panduan ini menunjukkan begitu terperinci mengenai apa yang boleh dan apa yang tidak boleh.

 “Semasa (permohonan) diproses, kita akan merujuk semua jabatan teknikal, lebih kurang 22 jabatan teknikal, selepas dirujuk, barulah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) untuk dipertimbangkan. 

“Kalau dituduh kita meluluskan sewenang-wenangnya itu, pada pendapat saya tidak betul lah,” jelas Maimunah dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika melawat tapak kejadian di sini pada petang tadi.

 Hadir sama, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus.

 Difahamkan, permohonan Pelan Kebenaran Merancang Projek Perumahan Swasta Jalan Lembah Permai itu diluluskan pada 10 Februari 2015, manakala pelan pembangunan diluluskan pada 19 Mei tahun sama. 

Menjawab soalan pemberita, Maimunah turut mensyorkan pihak tertentu supaya segera membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekiranya mempunyai bukti amalan rasuah dalam isu berbangkit tersebut.

 Sebelum itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan mengarahkan PBT menyenaraihitamkan syarikat kontraktor terbabit, serta perintah menghentikan kerja-kerja pemajuan di tapak pembinaan.

 Beliau berharap Jawatankuasa Siasatan Negeri yang ditubuhkan segera melaksanakan siasatan secara penuh dan bebas, untuk menentukan punca, asal-usul kemalangan di tapak pembinaan ini, serta mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab.
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...