PENANG

PENANG
TABUNG BANJIR PENANG

Wednesday, November 15, 2017

Kelantan sepatutnya dapat Menteri Besar Macam ini !


 Walaupun dicemuh dan difitnah, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng (LGE) telah membuktikan dirinya seorang pentadbir yang bertanggungjawab dan sangat bersimpati dengan nasib rakyatnya yang ditimpa musibah banjir besar baru-baru ini.

Rakyat Kelantan tentu mengidamkan seorang MB yang lebih baik dari LGE. Demo janganlah khuatir, sebab di Kelantan sememangnya sudah sedia ada tokoh yang lebih baik dari LGE! Demo acu undi Pakatan Harapan, insya' Allah, Allah akan anugerahkan MB yang terbaik kepada demo!

Sebelum ini LGE telah mengumumkan pemberian RM500 secara one-off setiap isi rumah baik kediaman ataupun perniagaan yang ditimpa banjir. Jumlah yang diberikan ini merupakan jumlah bantuan yang paling besar diberikan oleh mana-mana Kerajaan Negeri.

Walaupun begitu, dalam sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada tengah hari kelmarin LGE telah menambah lagi jumlah tersebut sebanyak  RM200.

Ini menjadikan bayaran ehsan ‘one-off’ secara keseluruhannya sebanyak RM700 setiap penerima.Wow! Itu belum lagi termasuk lain-lain insentif dan bantuan dari NGO!

Yang menariknya, Lim Guan merakamkan ucapan terima kasih Kerajaan Negeri  kepada dua Menteri Besar kerana telah turun sendiri ke padang banjir “Ground Zero” iaitu Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali.

 Zambry dan Azmin turun ke padang dengan rombongannya dan sendiri membuat pembersihan. Syabas kepada mereka ini.

YAB Datuk Seri Azmin Ali juga menyerahkan hampir RM1.5 juta kepada Kerajaan Negeri dan badan-badan pertubuhan di Pulau Pinang.

Saya merasakan, MB dari lain-lain negeri sepatutnya datang juga kerana setidak-tidaknya mereka dapat menimba pengalaman cara-cara menguruskan bencana banjir dengan lebih berkesan.

Terutamanya MB Kelantan! Ahmad Yakob perlu datang dan belajar kerana Kelantan merupakan negeri yang sering dilanda banjir besar dan rakyat jelata nya sering merungut kerana terabai seperti tidak ada kerajaan.

Lagi pula, setidak-tidaknya kehadiran Ahmad Yakob sebagai membalas kunjungan LGE dan LKS yang pernah datang sendiri dan membantu mangsa banjir di Kelantan. Mereka ini tidak pernah berkecil hati walaupun Kerajaan Kelantan tidak pernah mengucapkan terima kasih kepada mereka ini yang pernah membantu Kelantan, malahan mendapat cemuhan dan difitnah.

Janganlah nak berasa malu atau segan untuk berjumpa dengan LGE kerana hanya mampu menderma RM50k kepada Pulau Pinang. LGE telah menerimanya dengan berterima kasih dan sedar kerana sekadar itu sahaja kemampuan Kelantan, tidak seperti Selangor, kerajaan yang kaya.

Berikut adalah pernyataan penuh ucapan LGE sewaktu persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kelmarin :

 Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

  1. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada semua pihak termasuk agensi/jabatan Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, NGO, JKKK, agensi swasta dan semua penduduk Pulau Pinang pada 4 dan 5 November 2017 yang telah bertungkus lumus bagi menyelamatkan Pulau Pinang yang mengalami bencana angin ribut kencang banjir terburuk dalam sejarah Negeri Pulau Pinang. Bencana alam yang terjadi ini adalah di luar jangkaan, di mana ia berpunca daripada tiga elemen luar jangka.

Pertama, hujan terlalu lebat, setinggi 372mm dicatat dan air banjir naik sampai 10 kaki tinggi tercatat di setengah tempat, iaitu hujan sebanyak sebulan setengah telah turun dalam masa 15 jam sahaja.

Kedua, air banjir besar yang turun dari Kedah dan menyebabkan air naik 3 kaki sungguhpun tidak ada hujan di kawasan Seberang Perai selepas 4-5 November 2017.

Ketiga, dalam masa yang sama telah berlaku angin kencang yang tidak pernah dilihat di Malaysia, sampai 40 batu sejam sehingga feri boleh ditolak ke darat atas jeti konkrit.

2. Bencana alam ini adalah satu hakikat yang kita terpaksa hadapi dan saya ingin menekankan di sini bahawa kita tidak akan elak, tidak akan sembunyi, tidak akan hilang dan tidak akan lari. Sejak bencana alam bermula pada 4hb November 2017, kepimpinan negeri berada bersama mangsa banjir dan rakyat sepanjang masa. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua pihak baik daripada agensi Kerajaan Persekutuan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mahupun daripada Kerajaan Negeri yang telahpun membantu dan menyelamatkan mangsa banjir.

3. Perlu disebutkan dua Menteri Besar yang turun sendiri ke padang banjir “Ground Zero” iaitu Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali. Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua Menteri Besar yang turun ke padang dengan rombongannya dan sendiri membuat pembersihan. YAB Datuk Seri Azmin Ali juga menyerahkan hampir RM1.5 juta kepada Kerajaan Negeri dan badan-badan pertubuhan di Pulau Pinang.

4. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada rakyat, DAP dan persatuan-persatuan di Pulau Pinang dan seluruh Malaysia yang telah memberikan derma untuk mangsa banjir, di bawah “Bantuan Banjir Pulua Pinang” hampir RM9.6 juta sekarang. Sekarang hanya tinggal berita baik daripada YAB Perdana Menteri yang masih belum mengumumkan bantuan kewangan secara langsung kepada mangsa banjir ataupun projek Rancangan Tebatan Banjir sebanyak RM1 bilion untuk 13 buah projek yang dijanjikan oleh beliau sendiri akan diberikan pertimbangan serius.

5. Pada minggu lepas, Kerajaan Negeri telah mengumumkan program “Pulau Pinang Bangkit” bernilai RM105 juta untuk membantu pemulihan dan pembinaan semula kehidupan rakyat pasca bencana angin ribut kencang dan banjir terburuk dalam sejarah yang melanda Pulau Pinang. Tiga cabaran terbesar yang dihadapi adalah: kerja pembersihan; kerja membaik pulih harta dan aset; dan menggantikan apa yang tidak boleh dibaiki.

6. Kerajaan Negeri telah mengaturkan banyak tawaran istimewa daripada perniagaan untuk meringankan beban banjir baik dari segi diskaun khas daripada perkhidmatan Grab dan UBER ataupun daripada doktor swasta ataupun syarikat perniagaan yang membekalkan kelengkapan dan peralatan eletrikal pengguna. Kita harapkan lebih banyak berita baik daripada syarikat swasta.

7. Di bawah Program Pulau Pinang Bangkit, Kerajaan Negeri akan membelanjakan RM50 juta untuk membayar wang ehsan sebanyak RM500 secara one-off kepada setiap isi rumah baik kediaman ataupun perniagaan yang ditimpa banjir. Dijangka 100,000 penerima akan mendapat RM500 ini. Setiap isi keluarga atau perniagaan hanya boleh pohon sekali sahaja untuk kerugian hartanah mereka.

8. Saya ingin mengumumkan pagi ini bahawa derma yang dikutip akan diagihkan sepenuhnya kepada mangsa banjir dengan tambahan RM200 setiap mangsa banjir. Ini akan memperuntukkan tambahan RM20 juta kepada mangsa banjir. Sekiranya kutipan derma tidak mencukupi RM20 juta, maka ia akan ditambah atau “top-up” oleh Kerajaan Negeri. Ini akan menjadikan bayaran ehsan “one-off” secara keseluruhannya sebanyak RM700 setiap penerima.

9. Kedua, bagi mengurangkan beban pasca-bencana yang melibatkan kerja pembersihan dan penggunaan air yang banyak, PBA telah bersetuju untuk tempoh bayaran satu pusingan (cycle) sepanjang dua bulan akan mengecualikan Surcaj Konservasi Air (Water Conservation Surcharge) untuk pengguna domestik. Diskaun air sebanyak 50% juga akan diberikan kepada pengguna domestik. Bagi pengguna komersil, PBA akan memberikan diskaun sebanyak 25%.

10. Saya ingin menyatakan diskaun 25% untuk pengguna komersil bukanlah untuk sebulan tetapi sama dengan pengguna domestik, untuk tempoh dua bulan. Ini bermakna PBAPP akan membelanjakan bukan RM 10 juta tetapi RM15 juta untuk faedah pengguna.

11. Ketiga, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan menyediakan diskaun cukai pintu sebanyak 10% untuk semua hartanah. Jumlah keseluruhan perbelanjaan oleh Kerajaan Negeri dijangkakan mencecah RM40 juta.

12. Keempat, dokumen-dokumen Kerajaan Negeri seperti geran tanah yang hilang atau rosak akibat banjir akan digantikan dengan percuma. Keseluruhan langkah-langkah program Bangkit Pulau Pinang ini akan makan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM105 juta, tidak mengambil kira wang yang perlu ditambah atau “top up” oleh Kerajaan Negeri sekiranya wang derma tidak mencukupi RM20 juta.

13. Berita baik 10 hari selepas bencana alam yang terburuk dalam sejarah Malaysia, Pulau Pinang telah bangkit dalam aspek pembersihan apabila hampir seluruh bahagian Pulau telah siap dan kawasan Sebarang Perai adalah lebih 80%. Dengan kerja keras dari pelbagai pihak dan NGO seperti Tzu Zhi yang sanggup bekerja keras tanpa mengira waktu dalam menyelamatkan keadaan telah menjadikan keadaan terkawal dalam masa yang singkat. Mana-mana keluarga yang memerlukan bantuan untuk membersihkan premis mereka diminta menghubungai MBPP atau MPSP. Adalah diharapkan bahawa keadaan akan pulih 100% menjelang akhir minggu ini.

14. Bayaran RM700 kepada setiap penerima akan dibayar sebelum akhir tahun ini. Borang-borang pendaftaran akan dipermudahkan. Tidak perlu ada laporan polis dan ia akan diedarkan selepas 20 November untuk membolehkan bayaran RM400 kepada mangsa-mangsa banjir tatkala 15 September 2017 dibayar terlebih dahulu. Seperti yang diumumkan, RM400 ini akan dibayar pada 18 November iaitu hari Sabtu ini, kecuali KADUN Datuk Keramat yang akan dibayar untuk tempoh dua hari iaitu 18 dan 19 November 2017. Pembayaran RM400 sekali lagi membuktikan janji ditepati oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan. Ahli-ahli Yang Berhormat

15. Saya percaya penggulungan pada kali ini adalah yang terakhir memandangkan pilihan raya mungkin akan diadakan dalam masa terdekat. Sebagai sebuah kerajaan yang mengutamakan rakyat, saya telah melancarkan “Pulau Pinang Bangkit” yang melibatkan kos berjumlah RM105 juta. Ia adalah suatu jumlah yang besar. Suka saya nyatakan bahawa jumlah tersebut tidak termasuk wang derma yang disumbangkan oleh pelbagai pihak bagi membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir. Inilah antara kesinambungan “Belanjawan Marhaen” yang dinyatakan dalam Ucapan Bajet pada 2 November 2017 lalu iaitu kita perlu menjaga kebajikan rakyat marhaen, iaitu orang kebanyakan dan keluarga-keluarga bekerja.

PINJAMAN PDC BERJUMLAH RM609 JUTA

16. Kerajaan Negeri telah meluluskan suatu pinjaman yang terancang kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sebanyak RM679 juta bagi tujuan pembiayaan kos pengambilan tanah dan pembangunan infrastruktur bagi menggalakkan pembangunan yang seimbang terutamanya di kawasan Seberang Perai pada tahun 2016. Sebanyak RM70 juta telah diluluskan dalam Bajet 2016 dan telah disalurkan kepada PDC. Manakala sebanyak RM609 juta lagi diluluskan dalam Bajet 2017.

17. Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan amaun pinjaman sebanyak RM155.34 juta kepada pihak PDC. Tumpuan pembangunan ini akan dapat menggerakkan ekonomi Negeri Pulau Pinang kerana Seberang Perai boleh menjadi penggerak utama pembangunan ekonomi masa hadapan terutamanya di kawasan Seberang Perai Selatan, khasnya Batu Kawan yang kini menjadi nadi perkembangan ekonomi dengan pelaburan besar seperti IKEA yang sangat ditunggu-tunggu oleh penduduk di utara.

18. Kemudahan pinjaman yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada PDC juga tidak menimbulkan risiko kewangan, memandangkan Kerajaan Negeri akan mula mendapat pulangan termasuk keuntungan pinjaman pada tahun 2018 dengan jangkaan keuntungan melebihi RM120 juta dalam tempoh lapan (8) tahun seterusnya. Terkini, PDC telah menjelaskan sepenuhnya pinjaman tersebut pada 10 November 2017.

KEBANGKITAN SEMULA PULAU PINANG

19. Kita harus ingat bahawa Pulau Pinang sememangnya akan bangkit semula selepas bencana yang melanda. Kita tidak akan tunggu dan lihat serta bersedih, malahan kita akan jadikan kejadian bencana ini suatu peluang untuk memperbaiki mutu perkhidmatan Kerajaan Negeri kepada Rakyat Pulau Pinang. Jika dilihat kebangkitan Pulau Pinang sejak 2008 setelah Kerajaan Pakatan Harapan mengambilalih tampuk pemerintahan, kita telah maju 10 tahun ke hadapan melalui banyak pembaharuan yang telah dilaksanakan sehingga menjadi salah satu destinasi pelaburan dan pelancongan yang dipandang tinggi tidak kira dalam dan luar negeri.

20. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri berasa begitu kesal apabila Jabatan Kaji Cuaca hanya memberi amaran tentang bencana alam sekitar pada jam 9.30pm, 4 November 2017. Tatkala itu hujan sedang turun dengan lebat dan angin ribut mulai melanda Negeri Pulau Pinang.

21. Justeru, Kerajaan Negeri akan meminta Penang Green Council (PGC) untuk melihat apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mendapatkan amaran yang lebih awal. Kerajaan Negeri kesal bahawa Jabatan Kaji Cuaca hanya memberikan amaran yang lewat apabila angin ribut kencang dan hujan lebat sedang berlaku dan bukanlah 3 hari ataupun 1 hari sebelum, seperti mana yang dinyatakan dalam KPI mereka.

22. Dalam aspek ini, Kerajaan Negeri tentulah akan mendapat maklum balas dan kajian dengan pihak Kaji Cuaca di peringkat antarabangsa yang nampaknya mempunyai maklumat yang lebih tepat dan terkini daripada Jabatan Kaji Cuaca.

23. Sekiranya amaran awal dapat diberikan dan sesungguhpun kita tidak dapat menghalang banjir dan juga angin ribut yang kencang, ianya sekurang-kurangnya dapat meringankan atau mengurangkan kerugian, kehilangan atau kerosakan harta benda.

24. Di samping itu, Kerajaan Negeri amat prihatin tentang kenyataan yang dibuat oleh YB Dr. Afif bin Bahardin, Ahli EXCO Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan bahawa banyak pusat bencana di bawah kawal selia Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak ada bekalan makanan ataupun kosong hampir 2 bulan sebelum bencana alam berlaku pada 4 November 2017 yang lalu.

25. Kelewatan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menyampaikan bekalan tidak boleh diterima dan Kerajaan Negeri akan mewujudkan stok bekalan minima, sekiranya stok tidak sampai daripada Kerajaan Persekutuan supaya pusat bekalan bencana tidak kosong iaitu tiada sebarang bekalan. Kita masih mengharapkan Kerajaan Persekutuan agar mempercepatkan penghantaran bekalan-bekalan dan tidak membiarkan pusat bekalan kosong selama 2 bulan sebagaimana yang berlaku baru-baru ini.

26. Saya ingin meminta agar YAB Perdana Menteri memberikan bantuan kewangan dan meluluskan projek-projek tebatan banjir. Kerajaan Negeri tidak menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak bantu, tetapi Kerajaan Negeri meminta bantuan diluluskan. Ada bezanya di antara bantu dan bantuan. Kita juga berharap perkara ini tidak diputarbelitkan oleh media Barisan Nasional, khususnya Utusan Malaysia dan sebagainya. Ini adalah kerana ianya tidak tepat dan cuba memburukkan imej Kerajaan Negeri dengan hasad dengki dan fitnah jahat.

27. Saya juga ingin mengutuk Ketua Pembangkang dan ADUN-ADUN UMNO lain yang menyatakan bahawa bayaran ehsan one-off RM500 hanya akan dibayar kepada mereka yang menjadi ahli politik kepada parti-parti pemerintah Pakatan Harapan. Ini adalah satu fitnah yang amat jahat sekali. Kerajaan Negeri tidak pernah membezakan pemberian bantuan daripada segi politik. Kita bayar kepada semua. Anda boleh lihat bayaran Program Emas yang dibuat oleh Kerajaan Negeri yang dibayar kepada semua tanpa mengira latar belakang termasuk pemimpin-pemimpin cawangan serta ahli-ahli UMNO, MCA, MIC dan GERAKAN.

28. Saya harap bahawa pihak Yang Berhormat daripada UMNO boleh tunjukkan bukti bahawa Kerajaan Negeri membuat pembayaran secara sedemikian. Sekiranya tidak, mereka harus meminta maaf dan menarik balik tuduhan dan fitnah yang amat jahat itu sekali. Janganlah memperlekehkan usaha Kerajaan Negeri yang ingin membantu rakyat semata-mata kerana kepentingan politik. Kerajaan Negeri Pakatan Harapan tidak mahu menjadi Kerajaan Negeri untuk penyokong kami tetapi mahu menjadi Kerajaan untuk semua 1.6 juta rakyat Pulau Pinang termasuk penyokong Barisan Nasional (BN).

29. Sekiranya anda daripada Kerajaan Persekutuan tidak boleh melakukan sedemikian sepertimana yang diberikan oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM500, janganlah cuba untuk menggagalkan usaha rakyat untuk mendapatkan bayaran RM500 dengan membuat tohmahan dan pembohongan yang jahat seperti ini. Kita tidak menyatakan Kerajaan Persekutuan tidak bantu tetapi Kerajaan Negeri sekarang meminta bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan yang tidak diberikan sehingga hari ini. RM500 yang diberikan oleh Kerajaan Negeri merupakan jumlah bantuan yang paling besar diberikan oleh mana-mana Kerajaan Negeri.

30. Kita berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberikan bantuan yang sama sebagaimana yang diterima oleh mangsa-mangsa banjir di Kelantan sebanyak RM500. Mengapa Pulau Pinang tidak menerima bantuan sedemikian? Kita berharap YAB Perdana Menteri boleh bersimpati dengan masalah dan penderitaan mangsa-mangsa banjir yang dilihat sendiri semasa mengunjungi Pulau Pinang pada 7 November 2017 yang lalu.

31. Dengan kejadian bencana yang terburuk dalam sejarah Pulau Pinang ini, Kerajaan Negeri akan bekerja keras untuk mempertingkatkan lagi infrastruktur awam, pengawalseliaan serta kemampuan rakyat menerima perkhidmatan kerajaan yang baik, menikmati kemudahan rumah mampu milik dan pengangkutan awam. Justeru itu, Kerajaan Negeri akan terus memperbanyakkan peluang perniagaan, pekerjaan dan pendidikan dengan memberikan kebebasan untuk setiap orang mencapai potensinya serta melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan. Dengan adanya Kad “I-Love-Penang” Saya Sayang Pulau Pinang, ianya merupakan kunci utama kesungguhan Kerajaan Pakatan Harapan demi kesejahteraan rakyat marhaen Pulau Pinang pada masa hadapan.

32. Sesungguhnya muafakat dan kerjasama yang jitu oleh semua Ahli-ahli Yang Berhormat dan semua golongan masyarakat amatlah dihargai dan segala perancangan yang diatur pada masa hadapan perlu dilaksanakan dengan Cekap, Akauntabiliti dan Telus yang memungkinkan negeri Pulau Pinang mencapai matlamat menjadi negeri maju bertaraf antarabangsa dan pintar menjelang tahun 2020.

 Sekian, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, saya mohon menyokong.

Terima kasih.

LIM GUAN ENG ~ sumber

Comments
2 Comments

2 comments :

UP the Moderates said...

Kepada Mat Yakob(MB Kelantan) dan para pemimpin Pas diseluruh Kelantan dan Malaysia,

Kamu tidak ada perasan malu kah?? Pemimpin bukan islam lebih prihatin masalah rakyat??

Malu lah hoiii...ilmu agama ada, tapi, hati byk kotor!!

Anonymous said...

Kpd org2 melayu islam yg berasa diri mrk suci dan mencerca non muslim sbg kotor dsb, tp tak pernah bersungguh2 nak berdakwah kpd mrk. Apa kata kamu buat kerja mcm sikafir lge ni dan kurangkan asyik2 nak mengata org

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...