JOM UNDI PAKATAN HARAPAN

JOM UNDI PAKATAN HARAPAN
JOM UNDI PAKATAN HARAPAN

Tuesday, February 13, 2018

Takdir politik PAS dan Umno di Kelantan

Oleh:Dr Awang Azman Awang Pawi 


 PAS Kelantan era Nik Abdul Aziz pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) memperoleh kemenangan yang memberangsangkan apabila menang 32 kerusi DUN daripada 45 kerusi yang dipertandingkan. Umno pula hanya mampu menang 12 kerusi dan PKR pula hanya mampu menang 1 kerusi di Guchil. Kemenangan ini menjadikan era tersebut gemilang dan mengukuhkan cengkaman kerajaan PAS di Kelantan. 

 Namun kehilangan besar PAS berlaku apabila kematian Nik Aziz, yang selama ini menjadi ikon besar dalam kepimpinan PAS di Kelantan pada Februari 2015. PAS mulai bergolak dan mengalami perpecahan sehingga terbentuknya parti serpihan, iaitu Amanah. 

 Lanjutan daripada ini, PAS pula kehilangan satu kerusi DUN apabila Husam menyertai Amanah. Era ini dikatakan PAS mulai mengalami kemerosotan pengaruh di peringkat nasional dan dikatakan turut menjejaskan PAS di Kelantan. 

 Ketiadaan Nik Aziz merupakan peluang terbesar Umno di Kelantan untuk mengukuhkan kedudukan mereka. Selama ini faktor Nik Aziz menjadi penghalang besar Umno menembusi dan menawan Kelantan. Di mana-mana sahaja sama ada pengundi di dalam dan luar Kelantan amat segan dan menyanjung tinggi kepimpinan Nik Aziz yang lebih diangkat sebagai tokoh spiritual Islam. 

 Rata-rata pengundi di luar Kelantan yang ditemui memberitahu penulis bahawa mereka sanggup balik ke Kelantan untuk memastikan undi kepada PAS sebagai tanda sokongan kepada kepimpinan Nik Aziz. Dianggarkan sekitar 20-30% pengundi luar Kelantan yang dahulu menjadi penentu kemenangan PAS di negeri itu kini berada dalam keadaan tidak jelas arah sokongannya kerana perpecahan PAS dan kemunculan Amanah. 

  DUN PAS menang tipis 

Sekurang-kurangnya terdapat 7 DUN PAS yang berada dalam keadaan kritikal. Kerusi tersebut termasuklah Jelawat dalam Parlimen Bachok yang hanya memperoleh 102 undi majoriti. DUN Gaal di Parlimen Pasir Putih hanya memperoleh 302 undi majoriti. 

 Di Parlimen Rantau Panjang, DUN Gual Periok mempunyai 615 undi majoriti manakala di DUN Bukit Tuku 879 undi majoriti. 

 Di Parlimen Tumpat, DUN Wakaf Baru dimenangi dengan 978 undi, sama seperti di DUN Tendong di Parlimen Pasir Mas. Di DUN Pulai Chondong dalam Parlimen Machang, beza kemenangan ialah undi tipis sebanyak 919 undi. 

Soalnya, bagaimanakah PAS mampu mempertahankan kemenangan tipis tersebut? 

 Kalau PRU13 dahulu faktor Nik Aziz, kerjasama dengan Pakatan Rakyat dan dasar PAS untuk semua telah memberikan semangat mempertahankan PAS dan sangat membantu kemenangannya di Kelantan. 

 Kini perpecahan PAS akan menyebabkan pertandingan 3 penjuru antara PAS, Amanah dan Umno seakan-akan tidak dapat dielakkan. Sebab itu, saling menuduh antara PAS dan Amanah bekerjasama dengan Umno tidak dapat dielakkan kerana masing-masing mengharapkan Umno membantu mereka secara senyap. Dengan cara ini, ia akan memberikan kelebihan kepada parti mereka. 

 Bacaan mudah apabila pertandingan 3 penjuru berlaku, maka peluang Umno menang tipis di kawasan 7 DUN tersebut sangat besar dengan mengandaikan undi Umno kekal manakala undi PAS hilang sebanyak 30 peratus sokongan kerana beralih arah menyokong Amanah. 

  Majoriti tipis Umno 

Terdapat 3 DUN yang Umno menang dengan majoriti tipis, iaitu di Dabong dalam Parlimen Kuala Krai (229 undi), Air Lanas di Parlimen Jeli (47 undi) dan Selising dalam Parlimen Pasir Putih (107 undi). 

 Sudah tentu Umno mengharapkan perpecahan PAS dan terbentuknya Amanah akan menyebabkan undi PAS di 3 DUN tersebut akan merosot. Perpecahan PAS dan pertandingan tiga penjuru antara PAS, Amanah dan Umno akan mengubah keputusan undi. 

 Dengan adanya pertandingan tiga penjuru tersebut, Umno berada dalam keadaan selamat. Hal ini kerana musuh Amanah di Kelantan ialah PAS, manakala musuh tradisi PAS di Kelantan pula ialah Umno. Ini bermakna PAS bakal dihimpit oleh dua parti. 

 Kemarahan PAS di Kelantan sebelum ini ialah terhadap Umno. Amanah tidaklah begitu kuat seperti Umno yang sudah lama bertapak di Kelantan. Namun, peranan Amanah lebih kepada memecah undi PAS. Amanah akan mampu menjadi parti ancaman kepada PAS sekiranya pengundi luar Kelantan bertukar arah menyokong Amanah. Hal ini kerana pengundi luar Kelantan majoriti menyokong PAS pada era kepimpinan Nik Aziz. 

  Strategi Politik Umno 

 Di peringkat parlimen, Ummo tewas di Parlimen Rantau Panjang sebelum ini disebabkan oleh faktor kubu kuat PAS di DUN Meranti yang memberikan undi besar sehingga 3933 majoriti undi, sedangkan di DUN Gual Periok dan Bukit Tuku PAS memperoleh 65 dan 879 undi sahaja. BN kalah dengan 6,676 majoriti di parlimen tersebut. 

 Kini ada ura-ura DUN Meranti akan dipindahkan ke Parlimen Pasir Mas melalui persempadanan semula. Parlimen Pasir Mas ialah kawasan Ibrahim Ali yang tewas kepada Nik Abduh dengan majoriti 8,047 undi. Ketika itu Nik Abduh ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat yang memperolehi 33, 431 undi manakala Ibrahim Ali memperoleh 25, 384 undi. 

 Apabila Nik Abduh tewas dalam pemilihan peringkat kawasan Pengkalan Chepa sesi 2017/2019, ramai yang menjangka Nik Abduh tidak akan dicalonkan semula, atau sekurang-kurangnya tidak akan bertanding di Parlimen Pasir Mas. 

 Hal ini kerana Nik Abduh tidak kerap berada di kawasan dan popularitinya dahulu, bergantung kepada ayahnya, Nik Aziz. Justeru, peluang beliau untuk bertanding semula agak tipis dan kerusi Parlimen Pasir Mas akan diberikan kepada orang lain. 

 Dalam kerja lapangan penulis, penyokong PAS yang ditemui memberitahu bahawa mereka amat mengharapkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (RUU 355) akan dibawa ke Parlimen untuk diluluskan dalam Sidang Parlimen bulan Mac ini. 

 Menurut mereka inilah bukti komitmen Abdul Hadi Awang dalam pelaksanaan undang-undang Islam. Sekiranya tidak dibentangkan, dijangka ramai penyokong PAS akan meragui Hadi dan beralih sokongan kepada Amanah dan Umno. 

 Ternyata RUU ini boleh memancing undi PAS dan menjadi bahan kempen parti itu. Namun ia boleh menjejaskan sokongan di peringkat komponen BN seperti MCA, Gerakan, MIC dan PBB. 

 Langkah PAS menamakan calon luar bukan anak tempatan untuk bertanding sebahagian daripada tradisi politik PAS Kelantan. Namun langkah ini dilihat musuh PAS sebagai langkah yang menunjukkan PAS Kelantan tidak mempunyai ramai calon yang berwibawa dalam kalangan anak tempatan. 

 Antara nama calon luar yang dikatakan bakal bertanding ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man di Parlimen Kubang Kerian, manakala Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan pula dikatakan bakal bertanding di Parlimen Bachok. 

 Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Nik Muhammad Zawawi pula dikatakan bakal bertanding di Pasir Puteh. Tradisi ini dikatakan akan menjadi antara bahan kempen Amanah dan Umno pada PRU akan datang. – 12 Februari, 2018. ~ Themalaysianinsight  
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...