JOM UNDI PAKATAN HARAPAN

JOM UNDI PAKATAN HARAPAN
JOM UNDI PAKATAN HARAPAN

Monday, April 23, 2018

Pilih Calon atau Parti

1. Politik ialah produk ijtihad, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam Fiqh Al Daulah, menyebutkan bahawa memilih parti politik adalah sama seperti memilih mazhab. 

 Justeru setiap orang memilih berdasarkan kemampuan, pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki atau kerana taqlid kepada tokoh-tokoh yang disanjungi sebagaimana yang berlaku kepada pemilihan mazhab. 

 Kaedah fiqh menyebut; 

 الاجتهاد لا ينقض بالاجتها
  Ijtihad tidak dapat dibatalkan dengan ijtihad yang lain 

 Tidak wajar bergaduh dan menyalahkan orang lain atas keputusan ijtihad atau pilihan yang dibuat, kerana masing-masing berhak memilih dan terpaksa memilih dengan keadaan dan situasi masing-masing. 

 2. Umumnya memilih atau mengundi parti tertentu adalah lebih utama daripada memilih calon. Ini kerana calon pilihanraya adalah tertakluk kepada kehendak dan dasar sesebuah parti dan kepimpinannya. Daripada sudut teori, calon pilihanraya tidak lebih sekadar wakil bagi sesebuah parti dalam parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang menentukan dasar negara dan negeri. 

Walau bagaimana pun, situasi politik sentiasa berubah dan tidak pernah tetap. Ramai ahli politik hari ini sanggup melompat parti, keluar parti dan ada kemungkinan menjadi wakil bebas selepas memenangi pilihanraya di bawah tiket parti tertentu. 

 Justeru, memilih berdasarkan calon juga mempunyai merit yang besar dan wajar diberikan perhatian. 

 3. Realiti pilihanraya kali ini, terdapat tiga blok yang besar bertanding dalam pilihanraya yang dapat mempengaruhi dasar negara serta menjadi penentu kepada nasib rakyat jelata. Blok tersebut ialah BN, PAS dan Pakatan Harapan. 

Oleh yang demikian, berdasarkan penelitian saya menurut fiqh siyasah, memilih berdasarkan calon atau parti ditentukan oleh faktor berikut; 

 a) Keutamaan dan keperluan rakyat dan umat Islam sekarang. 

 Memilih calon berwibawa dan berkualiti memang penting untuk maslahat jangka masa panjang bagi rakyat namun yang menjadi darurat dan maslahat kepada rakyat sekarang ialah menamatkan penderitaan kos sara hidup, tekanan ekonomi, penindasan kepada golongan marhean, cukai dan segala macam korupsi, rasuah serta penyelewengan yang mampu menjahanamkan negara bahkan agama di negara ini. 

 Justeru, memilih parti atau blok politik yang boleh menamatkan penderitaan rakyat, meringankan beban rakyat marhaen dan menghentikan rasuah, korupsi serta penyelewengan negara adalah lebih utama daripada memenangkan calon yang berwibawa, soleh dan bertaqwa namun tidak mampu membawa perubahan atau mencegah mudharat kepada rakyat. 

 Ini kerana kaedah fiqh menyebut: 

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح 
 Menolak kerosakan lebih diutamakan daripada mencapai maslahat. 

 b) Kebimbangan terhadap risiko yang belum berlaku tidak boleh menjadi penghalang untuk menolak mudharat yang sedang berlaku jika mudharat yang sedang berlaku ini adalah sama berat atau lebih besar daripada risiko yang mungkin terjadi. 

 Maksudnya memilih parti atau blok politik tertentu mendatangkan risiko atau bahaya kepada Islam dan umatnya namun risiko itu belum terjadi dan belum pasti, masih bertaraf dzon atau syak sementara mudharat atau bahaya yang sedang berlaku dalam negara ini memang sudah berlaku seperti korupsi, rasuah, penderitaan dan tekanan hidup rakyat marhean yang wajib dihilangkan segera. 

 Nabi salallahualaihiwassalam pernah bergabung dengan Yahudi di fasa awal Madinah bagi memerangi musyrikin sebelum beralih menentang Yahudi pula apabila mereka belot terhadap Islam. 

 Justeru, wajar dan harus memilih blok politik yang dianggap tidak Islamik, punya agenda tersendiri, sekular, liberal, pragmatik, jebon dan sebagainya jika mereka mampu dan berupaya menamatkan segera penderitaan rakyat dan mengangkat mudharat yang sedang terjadi. 

 Kemudian jika mereka selepas itu belot dan berubah kepada memusuhi Islam dan mengambil langkah menyekat dakwah Islam dan hak-hak syarak maka mereka pun akan diperangi semula oleh kita seperti mana kita menentang parti atau blok politik yang memerintah selama ini yang telah membawa mudharat dan musibah kepada rakyat. 

 Ini kerana perjuangan ialah seumur hidup dan tidak mungkin selesai dengan hanya sekali undi. 

 c) Jika ada bahaya atau mudharat segera yang diyakini akan terhasil daripada wakil parti atau calon tertentu jika memenangi pilihanraya seperti HINDRAF atau mereka yang memang diketahui secara yakin akan terus bertindak membawa mudharat kepada rakyat dan umat Islam sekali pun parti mereka secara prinsipnya tidak seperti itu maka mengundi calon sebegini adalah wajib dielakkan. 

الضرر لا يُزال بمثله أو أعلى منه 
 Mudharat tidak ditolak dengan membawa risiko kadar 
bahaya yang sama atau lebih memudharatkan. 

 4. Setiap orang perlu memahami kita bukan hidup di zaman kegemilangan Islam atau pemerintahan khalifah, faktor rakyat berbilang kaum, kesedaran agama dan pelbagai isu menjadi aspek realiti yang perlu dihadam oleh kita semua.

 Maksudnya, ketika mengundi dan memilih parti politik nanti, jangan mengikut emosi dan meletak harapan terlalu tinggi. Bersikap sederhana dan realiti atau mengukur kemampuan setiap parti mengikut pengalaman dan realiti semasa. 

 Justeru, bersikap objektif amat penting seperti mengundi parti A sebab kerana menyokong dasar, manifesto, calon atau perancangan yang dikemukakan. Bukan mengunakan ayat-ayat besar dan idealistik seperti sokong parti B sebab hendak menegakkan Islam, tolak parti C sebab menolak kafir dan geng liberal. 

 Hakikatnya, kalau sokong parti A, B, C pun Islam belum tentu menang, kafir belum tentu menang dan seumpamanya. Semua hanya politik, pilihanraya, kuasa memerintah 5 tahun, demokrasi yang perlu diharungi oleh realiti umat Islam. 

 Ingatlah, Hamas lebih Islamik daripada semua parti di Malaysia, Presiden Morsi lebih alim dan hebat daripada calon Muslim di negara ini namun kemenangan mereka tidaklah menjadikan Mesir, Palestin terus menjadi daulah Islamiyyah sekelip mata, bahkan semuanya kekal sebagai perjalanan politik dalam sebuah negara demokrasi realiti hari ini. 

 Pendek kata, pilihanraya bukanlah jihad. Bukan juga perjuangan suci yang 'terjamin' mati syahid. Ianya hanyalah ijtihad politik, kebijaksanaan fiqh siyasah memilih pemimpin yang terbaik untuk umat Islam. 

 Segala puji hanyalah bagi Allah!
Comments
1 Comments

1 comment :

Anonymous said...

Dalam UMNO dan PAS tak ada calun atau pemimpin yang baik. Orang yang baik tak akan ikut penyamun.

Malangnya dalam parti yang baik seperti HARAPAN pun ada calun yang tak baik. Adakah kerana satu atau dua orang yang tak baik maka kita menolak HARAPAN ?

Pilih lah HARAPAN parti yang menjunjung undang-undang dan memertabatkan hak rakyat dari UMNO atau PAS yang terlibat dengan penyalahan kuasa dan kedudukan.

Apa yang wakil rakyat yang baik boleh lakukan apabila berlaku kehancuran yang di lakukan oleh si Ketua ?

PRU kali ini rakyat tak perlu pikir lama-lama kerana rakyat perlu pilih parti, sudah tentu HARAPAN. Setelah semua nya di baiki dan di letak di tempat yang sepatut nya baru lah pilih calun yang terbaik ia itu pada PRU yang seterusnya ..

Pada PRU 14, insyaallah, UMNO dan PAS akan mempunyai Ketua yang lebih baik dari Najib dan Hadi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...