JOM UNDI PAKATAN HARAPAN

JOM UNDI PAKATAN HARAPAN
JOM UNDI PAKATAN HARAPAN

Wednesday, May 30, 2018

KERAJAAN DIGESA BATALKAN PROJEK LALUAN REL PANTAI TIMUR (ECRL)


1. Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) menyokong penuh tindakan kerajaan Malaysia membatalkan projek mega Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura sepertimana yang diumumkan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad semalam bagi menjimatkan perbelanjaan negara hampir RM500 juta dalam usaha mengurangkan hutang negara lebih RM1 trillion yang ditinggalkan kerajaan kleptokrasi   Barisan Nasional. 

2. Sehubungan itu, Pemuda AMANAH menggesa kerajaan Malaysia juga  membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM55 billion. Projek ini jauh lebih kritikal daripada projek HSR kerana bukan sahaja kosnya yang terlalu tinggi, tetapi juga ia melibatkan pinjaman daripada kuasa besar China. Beban pinjaman ini akan ditanggung oleh rakyat terutama anak muda dan generasi yang akan datang. 

3. Tambahan pula, projek mega ini didakwa melebihi kos asal yang dianggarkan sekitar RM30 billion. Pemuda AMANAH memandang serius dakwaan sebelum ini bahawa lebihan kos projek ini akan dilencongkan bagi tujuan tertentu termasuk membayar hutang 1MDB. Jika benar dakwaan ini, ia menimbulkan inferens munasabah bahawa wujudnya unsur-unsur  fraud atau kontrak tidak sah yang mewajarkan pembatalan di sisi undang-undang. Justeru, Pemuda AMANAH juga mendesak siasatan rapi diambil kerajaan bagi menyiasat kebenaran dakwaan ini agar siasatan skandal 1MDB dilakukan sehingga ke akar umbi.

4. Walaupun terdapat laporan yang mengatakan hampir RM13 billion telah dibayar, namun ia tidak menghalang pembatalan projek ini dibuat memandangkan   penerusan projek ini akan menyebabkan mudarat yang lebih teruk berbanding pembatalan. Ini adalah kerana terma pembayaran RM13 billion tersebut boleh dirunding semula dan berkemungkinan tidak perlu ditanggung oleh kerajaan jika benar projek ini dicemari unsur fraud atau kontrak tidak sah mengikut prinsip undang-undang kontrak. Meneruskan projek ini bererti rakyat akan menanggung pinjaman sebanyak RM55 billion sedangkan menurut pendapat Prof Dr Jomo Sundaram bahawa  projek ini tidak menguntungkan dan berdaya maju. Justeru, pilihan yang perlu dibuat adalah berpremiskan prinsip memilih mudarat yang lebih kecil. 

5. Di samping itu, projek ini juga tidak mendatangkan keuntungan kepada golongan muda negara ini kerana peluang pekerjaan dalam projek ini tidak dinikmati  warga tempatan, tetapi warga China. Selaras dengan gesaan Pemuda AMANAH untuk kerajaan memberikan keutamaan kepada isu peluang pekerjaan, pembatalan projek ini begitu penting di mana wang negara boleh dijimatkan bagi digunakan kepada polisi yang boleh menambah peluang pekerjaan baik kepada golongan mahir dan bukan mahir. Dasar kerja adil, gaji adil dan hidup adil perlulah dilaksanakan seberapa cepat yang mungkin demi kesejahteraan kehidupan anak muda negara ini. 

FAIZ FADZIL
TIMBALAN KETUA PEMUDA AMANAH
ADUN PERMATANG PASIR
29 MEI 2018
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...