JOM UNDI PAKATAN HARAPAN

JOM UNDI PAKATAN HARAPAN
JOM UNDI PAKATAN HARAPAN

Thursday, June 14, 2018

Merakam Sejarah: Anwar Ibrahim


Saya akan dianggap murtad kalau saya tidak menulis tentang Anwar Ibrahim dalam siri merakam sejarah ini. Para REFORMIS akan memurtadkan saya kerana tidak memperlihatkan dan berlabun tentang peranan Anwar. 

 Hakikatnya dari fakta sejarah dalam kempen PRU14 peranan Anwar amat minimum - amat sedikit. Malah kadang kala mengganggu perjalanan siratul mustakim Pakatan Harapan. 

 Ini terjadi kerana ketika PRU14 dirancang dan berjalan Anwar ini sedang dipenjara oleh Najib. Anwar dipenjara atas tuduhan meliwat Saiful Bukhari. Ini fakta sejarah. 

 Tetapi yakinlah peranan Anwar Ibrahim ini besar. Untuk memahami rakaman sejarah biar saya butirkan beberapa fakta latar untuk pengetahuan umum. 

Mungkin ada pembaca kurang arif tidak mengetahui beberapa fakta latar belakang tentang Anwar Ibrahim. Wajib diberitahu bahawa Anwar Ibrahim ini sebelum memakai jubah Islam telah memakai songkok Melayu. 

 Kampus Universiti Malaya - pasca Mei13 1969 - Anwar telah menonjolkan diri sebagai pemimpin pelajar. Tapi bukan memimpin Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya - PMUM. Bukan. Bukan. Bukan. 

 PMUM adalah persatuan pelajar untuk anak semua bangsa-bangsa semua agama. Dari segi fakta sejarah pucuk pimpinan PMUM sering kali diterajui oleh kumpulan liberal sekular atau pelajar kiri dari Kelab Sosialis. 

 Anwar memimpin Persatuan Bahasa Melayu Universiri Malaya (PBMUM ). PBMUM tidak berjanji memayungi anak semua bangsa. Justeru Anwar tidak pernah bertanding untuk merebut kerusi PMUM. Jika bertanding dalam pilihan raya umum PMUM pada tahun 1970, Anwar akan kalah. 

Hakikatnya amat jarang aktivis dan pemimpin PBMUM berani bertanding untuk memimpin PMUM. 

 Dari fakta sejarah, pernah pada tahun 1973 bekas presiden PBMUM - Zulkifli Ahmad cuba bertanding dalam pilihanraya PMUM. Tapi gagal. 

 Ketika saya di UM, warga mahasiswa menggambarkan demografi Malaysia. Justeru garis Melayu atau garis Islam tidak ada keupayaan untuk mewakili anak semua bangsa - bangsa semua agama dalam kampus UM. 

 Pasca Mei13 dalam tahun 1970 Anwar melancarkan kempen menobatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam Universiti Malaya. Dari sini Anwar mencipta nama. 

 Kemudian Anwar menukar songkok Melayu PBMUM untuk memakai jubah Islam. Fakta - jubah Islam - ini sering ditimbulkan. Ada yang menimbulkan ‘ jubah hijau’ ini untuk membuktikan bahawa pada satu ketika dulu Anwar ini seorang fundamentalis Islam. Berita dan labun seperti ini biasanya datang dari musuh politik Anwar. 

  Lebih licik 

 Sebenarnya Anwar Ibrahim ini lebih licik dari itu. Anwar memiliki keupayaan untuk menukar songkok, baju, jubah, tali leher dan jaket berkali-kali. Semua dilakukan dalam usaha membantu memperkukuh kerja politik dirinya. 

 Semua yang saya tulis ini adalah latar awal ketika Anwar di UM. Jangan silap fakta saya bukan satu angkatan dengan Anwar Ibrahim. Kami pergi ke sekolah yang sama. Kami masuk ke universiti yang sama - fakulti yang sama tapi BUKAN jabatan yang sama. Hakikatnya Anwar Ibrahim lebih senior dari saya. 
/

Bila saya masuk ke UM tahun 1971 saya sempat melihat cakaran di dinding papan tanda. Cakaran ini bertujuan memadamkam maklumat dalam Bahasa Inggeris. Ini kerja kempen Anwar Ibrahim dan PBMUM. Inilah yang saya takrifkan sebagai ‘songkok’ Melayu dari Anwar Ibrahim. 

 Pada 3 Disember 1974 anak mahasiwa pelajar dari pelbagai kampus turun berdemo di Dataran Merdeka untuk menyokong perjuangan kaum tani yang kelaparan di Baling, Kedah. Dari Dataran Merdeka para demonstran masuk ke Masjid Negara. 

 Pada Rabu 4 Disember 1974 Anwar ditahan bawah ISA. Pada 8 Disember 1974 saya hilang ke bawah tanah dari Kolej Ketujuh Universiti Malaya. 

 Saya berkelana selama 20 tahun. Anwar menjadi ahli United Malays National Organisation dan menjawat jawatan dalam parti dan kerajaan. 

 Pada 2 September 1998 Anwar Ibrahim Timbalan Perdana Menteri Malaysia dibuang dari kerajaan atas tuduhan meliwat. Pada 20 September 1998 satu tunjuk perasaan telah diadakan. 

Demonstrasi bermula di Masjid Negara kemudian para demonstran telah masuk ke Dataran Merdeka. Untuk saya ini pengulangan sejarah. Ini permulaan gerakan politik jalan raya. 

Sejarah demonstrasi Disember 1974 berulang sekali lagi pada September 1998. 

Pada petang 20 September ini saya hadir di Masjid Negara dan menyebar kertas pelekat dari Kumpulan APA - Artist Pro-Active.


Pada sebelah malam 20 September Anwar ditahan. Dari sini bermula gerakan REFORMASI. Manifestasi reformasi ialah politik jalan raya. Saya cukup senang hati kerana politik jalan raya kembali menyemarakkan garis politik Malaysia. 

Sebaik sahaja Anwar ditahan seluruh negara mengelodak. Anak-anak muda mula turun ke jalan raya. Semua ini spontan tanpa disusun atau diatur. Ini tanda sokongan hangat anak anak muda - pelajar dan mahasiswa - kakak , ibu, abang dan ayah - terhadap Anwar Ibrahim. Si Anwar dianggap sebagai harapan masa depan mereka. 

 Sejarah merakamkan bahawa manifestasi gerakan reformasi 1998 ialah demonstrasi. Manakala ikon reformasi ialah Anwar Ibrahim. Sosok yang dipanggil Anwar Ibrahim ini menjadi simbol yang paling ampuh. Ikon dan wajah Anwar Ibrahim telah berjaya membawa orang ramai ke jalan raya. 

 Kepada penyokong dan simpatisan Reformasi - pemenjaraan Anwar memberi makna masa depan mereka telah punah ranah - hancur berderai. Mereka meletakkan harapan kepada sosok bernama Anwar. Bayangkan bagaimana kecewa melanda apabila Anwar dipenjara. Justeru mereka sanggup bertempur dengan FRU di jalan raya. 

  Menembusi jeriji besi 

Anwar walau pun dalam penjara tapi pengaruhnya menembusi jeriji besi dan tembok batu penjara. Menyebut nama nama Anwar Ibrahim bermakna menyebut keadilan. Menyebut nama Mahathir Muhamad bermakna menyebut kezaliman. 

 Majoriti Bani Melayu pada tahun 1998 yakin bahawa Anwar telah dizalimi oleh Mahathir Muhamad. 


Dalam PRU10, PRU11, PRU12 dan PRU13 - tidak dapat dinafikan faktor Anwar adalah faktor numero uno. Dalam PRU10 pada tahun 1999 Terengganu jatuh ke tangan parti Islam PAS. Kemenangan PAS adalah kerana Anwar. 

 Imej mata lebam Anwar adalah rujukan kemenangan itu. Menidakkan fakta ini sama saperti menidakkan faktor Mahathir yang berjaya menjatuhkan United Malays National Organisation pada Rabu 9 Mei 2018. 

 Wajib diakui bahawa Anwar Ibrahim memiliki keupayaan berucap yang hebat. Sesiapa yang mendengar kali pertama ucapan Anwar akan terpesona. Memang hebat retorika dari mulut Anwar. Ini bukan ucapan dari ustaz tapi akan diselang-seli dengan ayat Quran dan Hadis Nabi. 

 Malah untuk memperkukuh diri Anwar juga melamar beberapa patah perkataan Jerman atau Perancis. Walau pun bunyi perkataan asing ini tidak begitu tepat tetapi bunyi yang salah ini telah cukup untuk mendodoikan telinga mak cik dan pak cik Felda. 

 Tidak cukup dengan weltanschuung. Anwar akan menggugurkan beberapa nama sosok-sosok penting dalam ucapannya. Ini bertujuan untuk membantu pemperkukuhkan dirinya. Akan disebut nama Qaradawi, akan disebut nama Al Gore atau Erdogan. Akan dipalit nama George Town University untuk memberi gambaran pada maka cik dan pak cik Felda bahawa Anwar ini bukan kecik anak.

 Pasti mak cik Felda akan berkata… Oh! Hebatnya Si Anwar ini hampir semua pemimpin dunia dikenalinya. 

 “Dihina... dipukul... ditelanjangi....” Perkara ini diulang-ulang oleh Anwar. Untuk sesiapa yang sering mengikut ceramah Anwar pasti mereka telah mendengar surah yang sama berpuluh kali. 

 Memang betul. Memang tepat sosok bernama Anwar Ibrahim ini telah dihina. Telah dipukul. Telah ditelanjangi. Inilah kehebatan Anwar Ibrahim. Dia dipenjara tiga kali. 

 Kali pertama di Kamunting tahanan ISA kerana terlibat dalam gerakan pelajar pada tahun 1974. Kali kedua 14 April 1999 - tuduhan meliwat. Pada 2008 sekali lagi Anwar dituduh meliwat. 

 Kali pertama apabila Anwar dituduh meliwat kelihatan sokongan cukup hebat. Ribuan turun ke jalan raya. Apabila Anwar dipenjara gelombang REFORMASI menggelodak dan mengancam kedudukan Perdana Menteri Mahathir. 

 Tetapi apabila tuduhan ke dua sampai sokongan menjadi lembik. Tidak seheboh kali pertama Anwar ditangkap dan dipenjara. Tidak ada ada tunjuk perasaan besar besaran menuntut Anwar dibebaskan. Mungkin - rakyat Malaysia telah naik bosan dengan kes liwat. 

 Walau apa pun sejarah wajib merakamkan tanpa Anwar Ibrahim tidak akan ada kemenangan Rabu 9 Mei. Tanpa Anwar masuk penjara tidak mungkin gelombang reformasi bermula. Anwar adalah sosok yang bertanggungjawab memecah ruyung. 

Memecah ruyung 

 Memecah ruyung bukan satu yang senang. Memecah ruyung memerlukan pengorbanan. Anwar telah memecahkan ruyung itu untuk kita sesama menikmati sagunya. 

 Sejarah akan merakamkan bahawa Anwar Ibrahim menjadi penyebab utama yang membangunkan kesedaran Bani Melayu untuk berani bangun menentang Parti Kertuanan Melayu. Anwar juga berjaya berkempen untuk meyakinkan anak semua bangsa bahawa United Malays National Organisation wajib ditolak. 

Berbulan bulan dahulu - ketika saya mencadangkan agar Mahathir Muhamad dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan - tidak ramai yang menyokong. Malah saya mendapat sumpah seranah. Saya mencadangkan Mahathir kerana pada ketika itu Anwar sedang dipenjara oleh Najib. 

 Hari ini Mahathir telah diangkat untuk menjadi PM sekali lagi. Agenda reform Mahathir semakin jelas. Mengikut kata Suhakam tidak ada apa pun yang ‘sacrosanct atau suci' yang tidak boleh dibincangkan dalam Malaysia Baru. Amin.  

Malah mengikut kata Kadir Jasin - bekas pengarang NST - hal ehwal raja-raja Melayu juga termasuk dalam agenda reform Pakatan Harapan. Ini satu yang hebat. 

 dang menunggu Anwar Ibrahim untuk bergerak serentak seirama memalu gendang agenda reform Mahathir Muhamad. 

 Harapan yang punah ranah pada tahun 1998 dahulu kini disambung. Agenda reform Pakatan Harapan yang sedang berjalan sekarang adalah lanjutan harapan anak semua bangsa kepada sosok Anwar Ibrahim. 

 Anwar Ibrahim tidak perlu lagi menukar songkok atau jubah. Anak semua bangsa sedang siap-siaga untuk melintasi jambatan menyeberang masuk ke Malaysia Baru bukan untuk jadi jambatan dalam Malaysia Kuno. END~ malaysiakini

  HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem. 
Comments
0 Comments

No comments :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...