JOM UNDI PAKATAN HARAPAN

JOM UNDI PAKATAN HARAPAN
JOM UNDI PAKATAN HARAPAN

Tuesday, June 12, 2018

Peguam: Guna waran tangkap Interpol atau batal pasport Jho Low

Jho Low dikehendaki pihak berkuasa Malaysia untuk membantu
siasatan 1MDB. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Beberapa cara boleh digunakan untuk membawa balik Low Taek Jho atau Jho Low ke negara ini berhubung siasatan terhadap skandal 1MDB. 

 Peguam kanan jenayah, SN Nair berkata, pihak berkuasa Malaysia atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menghubungi Interpol bagi menggunakan notis merah terhadap Jho Low, setelah memperoleh waran tangkap terhadapnya. 

 “Notis merah ini terpakai di mana-mana negara anggota Interpol. Polis di semua negara anggota Interpol kemudian berkewajipan menangkap Jho Low. Selepas itu, Malaysia boleh membuat permohonan kepada negara berkenaan untuk menghantarnya pulang ke Malaysia. 

 “Malaysia mungkin tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan semua negara anggota Interpol, tetapi perkara itu tidak menjadi halangan, selagi Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dua hala dengan negara berkenaan,” katanya apabila ditanya sama ada Malaysia mempunyai pilihan lain menahan Jho Low kerana tidak mempunyai perjanjian ektradisi dengan negara Jho Low berada sekarang. 

 Beliau bagaimanapun berkata, proses ekstradisi amat kompleks kerana sebagai orang kaya, Jho Low mampu menggunakan mahkamah negara itu untuk menyekat atau melengah-lengahkan keseluruhan proses ekstradisi (kecuali Brunei dan Singapura). 

 Nair berkata, Malaysia juga boleh terus membatalkan pasport Jho Low, dan itu akan menjadikannya orang tanpa warganegara. 

 “Dengan cara itu, dia perlu bergantung kepada belas ihsan negara yang menjadi tempat tinggalnya sekarang kerana melanggar undang-undang imigresen negara berkenaan. 

 “Tekanan seperti ini akhirnya akan memaksa Jho Low kembali ke Malaysia secara sukarela seperti dialami beberapa pelarian warga Singapura yang mencari perlindungan di luar negara.” 

 Seorang lagi peguam kanan jenayah, Datuk N Sivananthan berpendapat, notis merah sudah dikeluarkan terhadap Jho Low, maka semua negara anggota Interpol wajib menangkap dan menghantarnya ke negara yang memohon penangkapannya. 

 “Bagaimanapun, di sinilah akan timbul kerumitan. Pertama, adakah dia menjadi rakyat atau penduduk tetap di negara yang dia sedang berada dan sama ada negara itu mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia. 

 “Kedua, dia boleh menggunakan hujah tiada pertuduhan menunggunya ketika ini dan dia mungkin boleh menggunakan alasan penyiasat boleh menemuduganya di tempat dia sedang berada.” 

 Katanya, Jho Low juga boleh menggunakan alasan siasatan terhadapnya berasaskan politik kerana hubungannya dengan bekas perdana menteri dan keluarganya serta pertuduhan berasaskan politik tidak terikat dengan ekstradisi, walaupun negara itu sedia menimbang alasan serupa dengan ketiadaan perjanjian berkaitan ekstradisi. 

 “Oleh kerana dia mengambil pendekatan pertama melalui peguamnya, saya berpendapat apa yang perlu dilakukan ialah menemuduganya di negara dia tinggal sekarang dan sekiranya terdapat keputusan mengenakan pertuduhan terhadapnya kelak, langkah sewajarnya perlu diambil selepas itu. 

“Kita masih dalam fasa mencari fakta dan kehadiran Jho Low perlu dimanfaatkan bagi mendapatkan pencerahan tentang kesalahan yang dilakukan.

 “Pada pendapat saya, apabila anda berada dalam fasa membuat keputusan sama ada kesalahan sudah dilakukan, maka butiran dan fakta mengenainya sangat penting. 

 “Spekulasi media, sentimen orang ramai dan laporan tidak berasas perlu diketepikan. Perlu ada bukti nyata untuk membuat pertuduhan kerana jika tidak, ia tidak mencukupi.” 

 Notis merah adalah permohonan oleh negara anggota bagi mengesan dan menangkap seseorang individu sebelum dia dikenakan ekstradisi dan notis itu hanya dikeluarkan jika ada waran tangkapan kebangsaan yang sah. 

 Bekas pengerusi Jawatankuasa Amalan Jenayah Majlis Peguam Kuala Lumpur, Lim Chi Chau berkata, ada beberapa cara membawa pulang Jho Low, tetapi ia melibatkan proses panjang serta tertakluk kepada undang-udang di negara dia tinggal. 

 “Ketiadaan perjanjian ekstradisi tidak bermakna keadaan menjadi mustahil. Perjanjian hanya memudahkan proses itu,” katanya sambil menambah Malaysia boleh memohon notis merah bagi menangkap Jho Low, tetapi ia melibatkan proses panjang lebar.~ freemalaysiatoday
Comments
1 Comments

1 comment :

Anonymous said...

Apa jabatan imigresen dan pdrm buat? Nak kena tunggu arahan jg? Useless DG immigration dan igp. Tukar org baru

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...